Jiwa Komuniti Madani: Semangat Kebersamaan Serikan Sambutan Hari Kebangsaan
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Semangat kebersamaan dan kreativiti masyarakat dapat menyerikan sambutan hari kebangsaan negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor.
Mustapha yang juga Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan beliau telah hadir ke Program Jiwa Komuniti Madani pada Khamis.

“Pak Mus hadir ke Program Jiwa Komuniti Madani yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Suasana di Dewan FELDA Palong 9 begitu meriah dengan pelbagai pengisian menarik.
“Pakaian anak-anak kecil yang begitu cantik dan comel mencuri perhatian, menyerikan lagi program dengan warna-warni keikhlasan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata program tersebut lebih bermakna dan indah dipandang dengan hidangan juadah makanan yang dihias penuh kreativiti.
“Selain itu, hidangan makanan yang dihias dengan penuh kreativiti juga menambahkan seri majlis, menjadikan program ini bukan sekadar penuh makna, tetapi juga indah dipandang.
“Satu lagi bukti bagaimana semangat kebersamaan dan kreativiti masyarakat dapat menyerikan sambutan negara tercinta,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol telah hadir sebagai perasmi untuk Program Sejati Madani FELDA Palong 8 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan FELDA Palong 8.

“Alhamdulillah, Pak Mus berbesar hati hadir sebagai perasmi untuk Program Sejati Madani FELDA Palong 8 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan FELDA Palong 8.
“Program ini menjadi wadah penting dalam memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat FELDA melalui sokongan kerajaan persekutuan, selain membuka ruang memperkasakan generasi pewaris dengan semangat kebersamaan dan pembangunan mapan.
“Dalam program ini, sumbangan berupa khemah, kerusi dan air ‘cooler’ telah disalurkan untuk kepentingan penduduk setempat dalam menjana keuntungan melalui aktiviti sewaan serta penganjuran pelbagai program. Usaha ini diharap dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk FELDA Palong 8 secara berterusan seiring dengan semangat Sejati Madani,” katanya lagi. – UMNO Online
