Isu Kampung Sungai Baru: Orang Melayu Sahaja Boleh Beli Produk Dari Pemaju

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan berusaha untuk memastikan bahawa hanya orang Melayu sahaja boleh membeli produk pemaju yang akan membangunkan Kampung Sungai Baru.

Menerusi klip video temuramah yang dimuat naik menerusi laman Facebooknya Johari berkata, pemaju jelas membelakangkan kepentingan orang Melayu dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah.

“Saya sudah memperjuangkan perkara ini sehingga saya kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Pada tahun 2013 sehingga 2018 tidak ada seorang pun penduduk di situ dipindahkan.

“Tetapi malangnya, apabila kerajaan terdahulu mengambil alih kawasan ini, tidak ada di kalangan mereka yang melihat isu pengusiran penduduk di situ secara beramai-ramai oleh pemaju.

“Pemaju jelas membelakangkan kepentingan Melayu dalam keghairahan mengaut keuntungan. Malah pemaju menggunakan Akta Pengambilan Tanah pada 2021 secara paksa kepada mereka yang tidak bersetuju untuk keluar dari kawasan tersebut,” katanya.

Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau akan mengambil inisiatif untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bagi membincangkan isu tersebut.

“Akhirnya pada 2025 kita sudah sampai di peringkat ada lagi 14 rumah tidak mahu keluar walaupun pampasan telah diberi dan inilah jadinya. Ini kerana pemaju tidak bertanggungjawab melihat kepentingan orang Melayu secara keseluruhan di tanah Kampung Bharu yang memang untuk orang Melayu.

“Saya akan cuba berjumpa dengan Menteri Wilayah dan kalau boleh saya nak jumpa Perdana Menteri. Saya nak memastikan bahawa kawasan ini apabila dibangunkan semula… oleh kerana sejarah tanah ini adalah tanah Melayu, maka orang Melayu saja yang boleh beli produk ini daripada pemaju.

“Kalau tiada orang Melayu yang nak beli, mereka kena tunggu sampai orang Melayu dapat beli. Kampung Bharu ini adalah tanah yang telah diberi ketika zaman British lagi oleh Sultan Selangor untuk orang Melayu.

“Tetapi kalau nak beri kepada orang Melayu… kalau mereka buat rumah yang orang Melayu tak mampu beli maka itu akan jadi masalah,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan kira-kira 15 penduduk Kampung Sungai Baru berdepan tindakan pengosongan selepas enggan berpindah daripada kediaman mereka.

Suasana tegang menyelubungi kawasan tersebut sejak awal pagi sehingga polis telah memasang khemah kawalan dan mengetatkan sekatan di laluan masuk.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata menegaskan segala tindakan berkaitan isu pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru dilaksanakan mengikut proses undang-undang dan keputusan mahkamah, bukan secara sewenang-wenangnya.

Ujarnya, pihaknya komited memastikan semua keputusan dibuat berlandaskan peraturan, selain terus membuka ruang dialog dengan penduduk dan peniaga bagi mencari penyelesaian terbaik. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO