Mari Kita Istiqamah, Kembali Ke Meja Rundingan Sebagai Keluarga Besar BN
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah menyeru agar seluruh parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk kembali istiqamah dan kembali ke meja rundingan sebagai sebuah keluarga besar.
Menerusi satu kenyataan, beliau turut merayu agar semua pihak untuk kekal bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyinggung mana-mana parti.

“Dalam situasi semasa yang melibatkan sahabat-sahabat komponen BN sama ada UMNO, MCA, MIC mahupun PBRS, saya merayu agar semua pihak kekal bertenang. Jangan sesekali menyimbah minyak ke dalam api kemarahan kerana akhirnya ia hanya akan merugikan kita semua.
“Marilah kita kembali istiqamah dan kembali ke meja rundingan sebagai sebuah keluarga besar BN. Saya memohon agar semua pihak mengawal emosi dan mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak. Ingatlah semangat setiakawan yang menjadi tunjang kekuatan kita sejak dahulu,” katanya.
Ujarnya, kepimpinan tertinggi BN perlu segera duduk semeja untuk memastikan kekuatan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Saya menyeru kepimpinan tertinggi Barisan Nasional untuk segera duduk semeja bagi memastikan kesinambungan serta kekuatan kita menuju PRU ke-16.
“Saya mendoakan agar Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dapat memimpin inisiatif rundingan meja bulat ini dengan segera.
“Dalam masa yang sama, saya memohon agar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran Sanasee, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Presiden PBRS, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup untuk mengetepikan perbezaan dan mencari titik penyatuan demi keluarga besar BN. Ingatlah, rakyat sedang memerhati kita,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar rakan-rakan komponen BN kekal setia dalam perjuangan apa jua cabaran yang mendatang.
“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sahabat dalam perjuangan politik. Justeru, saya menyeru semua pihak agar kekal tenang dan bersabar. Ini adalah keputusan besar yang akan menentukan hala tuju Barisan Nasional di masa hadapan. Elakkan keputusan terburu-buru yang boleh melemahkan serta merugikan kita.
“Kekal setia dalam perjuangan, waimah apa sahaja dugaan dan cabaran yang mendatang. Setiakawan BN,” katanya lagi. – UMNO Online
