UMNO Hang Tuah Jaya Yakin Johari Mampu Ketuai Pasukan Khas RUU URA
HANG TUAH JAYA, 8 Sept – UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya menyokong penuh pelantikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani, untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO dalam meneliti dan menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA).
Kata Ketuanya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, pelantikan Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi serta Ahli Parlimen Titiwangsa menjawat jawatan tersebut adalah tepat pada masanya.
“…kerana isu URA secara langsung memberi kesan besar kepada kawasan bandar, termasuk Hang Tuah Jaya, yang melibatkan kepentingan pemilik tanah, hartanah dan komuniti setempat.
“Datuk Seri Johari Abdul Ghani merupakan tokoh berpengalaman luas dalam bidang kewangan, korporat dan pembangunan bandar. Justeru beliau diyakini mampu memimpin usaha ini dengan penuh integriti dan kecekapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Jelas Mohd Ridhwan lagi, UMNO Hang Tuah Jaya juga percaya bahawa Konvensyen Melayu Bandar yang bakal dianjurkan akan menjadi wadah terbaik untuk mendengar suara rakyat, khususnya masyarakat bandar yang terkesan secara langsung dengan isu pembangunan semula.
“Pandangan dan aspirasi rakyat inilah yang mesti diangkat sebagai asas penting dalam perumusan RUU URA.
“UMNO Hang Tuah Jaya kekal konsisten bahawa setiap dasar dan undang-undang yang digubal hendaklah berpaksikan kepentingan rakyat, melindungi hak pemilik tanah serta memastikan pembangunan semula bandar memberi manfaat seimbang tanpa menjejaskan kepentingan masyarakat setempat,” katanya.
Justeru katanya UMNO Hang Tuah Jaya yakin langkah ini akan memperkukuhkan lagi peranan UMNO sebagai parti yang sentiasa mendengar suara rakyat, memperjuangkan kepentingan masyarakat bandar dan meletakkan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara sebagai keutamaan. – UMNO ONLINE