PRN Sabah: Kesiapsiagaan Jentera BN Berada Tahap Terbaik – Effendy Salamon
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan bahawa kesiapsiagaan jentera parti di seluruh negeri ini berada pada tahap terbaik dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Penerangan Pemuda BN Sabah, Effendy Salamon berkata, selaras dengan arahan kepimpinan pusat, BN Sabah telah pun menggerakkan jentera di semua peringkat termasuk akar umbi, sayap wanita, pemuda dan puteri dengan pendekatan yang tersusun, berstruktur dan sistematik.
“UMNO dan BN sebagai parti berpengalaman, sentiasa menekankan bahawa persediaan pilihan raya bukanlah suatu gerak kerja bermusim, sebaliknya dilakukan secara berterusan, sedaripada cawangan hingga ke bahagian.
“Hal ini sekali gus memastikan kekuatan parti tidak hanya bertumpu kepada musim pilihan raya, sebaliknya menjadi budaya kerja sepanjang masa.
“BN Sabah percaya, rakyat memerlukan politik yang matang, stabil dan berorientasikan penyelesaian, bukan politik retorik semata-mata. Dengan gabungan pengalaman kepimpinan senior serta kemunculan calon muda dan progresif, BN Sabah yakin mampu mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Effendy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sandakan berkata pendekatan ini merupakan komitmen BN Dabah kepada rakyat bagi memastikan kestabilan masa depan negeri lebih terjamin.
“Kami teguh berpegang bahawa masa depan Sabah perlu digerakkan melalui kestabilan, kesegaran idea serta keberanian untuk melakukan perubahan.
“Inilah janji BN Sabah kepada seluruh rakyat, politik segar demi masa depan yang lebih baik dengan dasar yang progresif dan iltizam untuk mengangkat martabat rakyat Sabah lebih maju menuju kemajuan,” ujarnya. – UMNO Online