Kerajaan Komited Perkukuh Taraf Sosioekonomi Masyarakat Orang Asli – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Kerajaan komited untuk memperkukuh taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli melalui peluang pekerjaan, pendidikan dan latihan kemahiran yang inklusif serta berdaya saing, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, sebanyak 130 projek telah diberikan kepada syarikat milikan Orang Asli sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kerajaan komited memperkasa peluang pekerjaan belia Orang Asli melalui tiga pendekatan utama iaitu pendidikan konvensional, keusahawanan dan peningkatan kemahiran melalui TVET.

“Sepanjang RMK12, sebanyak 130 projek telah diberikan kepada syarikat milikan Orang Asli, manakala 449 usahawan menerima geran dengan hampir separuh berjaya meningkatkan pendapatan sehingga 30 peratus.

“Seramai 243 usahawan turut dilibatkan dalam Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) yang merekodkan jualan melebihi RM839,000. Di samping itu, MARA melalui platform BizNetwork dan Program Pendigitalan Perniagaan MARA (DigitalBiz) melaksanakan latihan pendigitalan dan pemasaran e-dagang untuk memperkukuh daya saing mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Shahrol Wizan Sulong.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Orang Asli juga mempunyai peluang untuk memohon dan menyertai program di 1,398 institusi TVET di seluruh negara.

“Dari segi kemahiran, belia Orang Asli juga mempunyai peluang untuk memohon dan menyertai program di 1,398 institusi TVET di seluruh negara, termasuk laluan industri melalui Akademi Dalam Industri, Program Perantisan, Work-Based Learning dan Industrial Bootcamp.

“Pada masa ini, terdapat sebuah Institut Latihan TVET khusus untuk komuniti Orang Asli di Paya Bungor, Kuantan, Pahang yang menawarkan latihan kemahiran dalam bidang jahitan.

“Dalam sektor awam, seramai 2,913 Orang Asli berkhidmat sebagai Ranger Komuniti Jabatan Perhilitan dan 202 orang dilantik sebagai Konstabel Polis Orang Asli pada tahun 2024 dan 2025. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) turut memperluas akses melalui program Hari Mengisi Borang SPA pada setiap bulan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau turut memaklumkan bahawa terdapat peluang kerjaya telah diwujudkan untuk Orang Asli di sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Manakala di sektor swasta dan GLC, peluang kerjaya telah diwujudkan termasuk pelantikan sebagai Kru Kabin MAS, selain pemadanan pekerjaan melalui HRD Corp, AEON, Speedmart dan Akademi Bina Malaysia.

“Untuk makluman Yang Berhormat, usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memperluas peluang pekerjaan, pendidikan serta latihan kemahiran yang inklusif dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli secara berterusan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79