Hayati Erti Kemerdekaan, Junjung Perlembagaan Dan Rukun Negara
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nor Akmal Muhammad mengajak rakyat Malaysia untuk terus berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai berkata ini kerana ia penting sebagai asas keharmonian demi membina Malaysia yang lebih gemilang dan berjaya.
“Erti kemerdekaan yang sebenarnya kepada setiap warga tanah berdaulat ini adalah merdeka mindanya daripada dijajah oleh sentimen perpecahan dan merdeka jiwanya daripada sifat-sifat mazmumah yang membinasakan diri dan juga negara yang kita cintai ini.
“Oleh itu,marilah kita seluruh warga merdeka menjunjung tinggi perlembagaan negara, memperkukuh integrasi nasional dan berpegang kepada prinsip Rukun Negara yang menjadi panduan segenap lapisan masyarakat kearah Malaysia yang cemerlang dan gemilang,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut beliau turut menyifatkan tema kemerdekaan iaitu ‘Malaysia Madani Rakyat Disantuni’ membawa maksud yang tersendiri dalam era pemerintahan Kerajaan Perpaduan.
Nor Akmal dalam pada itu berkata sambutan kali ini telah diwarnai dengan pelbagai cabaran besar dan isu-isu rumit untuk ditangani oleh kerajaan hari ini.
“Ia memberi kesan kepada hubungan kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri-negeri, perpaduan antara kaum, ikatan komuniti dan anggota kabinet kerajaan Madani itu sendiri.
“Sambutan Kemerdekaan kali ke-68 ini juga bakal menguji sejauh manakah sokongan rakyat dan semangat Federalisme dalam ertikata sebenarnya ‘Merdeka’ kepada Kerajaan hari ini. Malaysia mesti terus mengekalkan dasar-dasar yang menjadi tiang seri kepada pembinaan negara bangsa.
“Saban tahun tema kemerdekaan Malaysia kebiasaannya memberi demensi dan perspektif kepada semangat dan hala tuju negara bagi kerajaan yang memerintah.
“Sebarang cubaan atau usaha meretakkan dan merobohkan tiang-tiang yang membina Malaysia sejak sekian lama akan membawa kepada kerosakan ekonomi negara, keruntuhan nilai-nilai kebersamaan rakyat dan keretakan kepada sistem eksekutif, legislatif serta badan kehakiman yang menjadi teras sebuah negara yang Merdeka,” ujar beliau. – UMNO Online