Sabah Perlukan Kepimpinan Baharu Yang Bersih, Berwibawa – Suhaimi

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Sabah memerlukan kepimpinan baharu yang bersih, berwibawa dan benar-benar fokus menyelesaikan masalah rakyat, kata Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, pengalaman panjang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hanya meninggalkan kegagalan kepada rakyat di negeri itu.

“Dari USNO kemudian UMNO/Barisan Nasional (BN), beralih ke PPBM, Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pula mengenakan baju Perikatan Nasional (PN), kemudian menubuhkan Gagasan Rakyat Sabah sebelum akhirnya menjadi Presiden Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS).

“Malangnya, pengalaman panjang ini tidak pernah diterjemah kepada kesejahteraan rakyat Sabah, sebaliknya hanya meninggalkan kegagalan.

“Hampir lima tahun menerajui kerajaan negeri, rakyat terus berdepan jalan raya rosak, bekalan elektrik tidak stabil, krisis air berpanjangan dan kadar pengangguran tertinggi di Malaysia iaitu 7.7 peratus pada suku keempat 2024. Ditambah pula dengan skandal lesen mineral yang mencalar integriti, pentadbiran GRS jelas tidak mampu dipertahankan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, pentadbiran Negeri Sabah perlu diubah.

“Hakikatnya, pengumuman untuk ‘berehat’ selepas PRN17 bukanlah pengunduran luhur, sebaliknya strategi keluar untuk mengelak beban politik lebih besar.

“Kalau sudah penat, lebih baik berehat terus, tidak perlu tunggu PRN17 untuk yang terakhir, teruslah duduk di rumah jaga cucu cicit, daripada terus membebankan rakyat dengan kegagalan.

“Sabah memerlukan kepimpinan baharu yang bersih, berwibawa, dan benar-benar fokus kepada penyelesaian masalah rakyat bukan lagi janji kosong serta gimik pelaburan tanpa hasil,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79