RUU URA: Veteran UMNO Gesa Kerajaan Teliti, Jangan Jejas Kepentingan Rakyat
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Veteran UMNO menegaskan bahawa sebarang saranan penambahbaikan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) perlu dipertimbangkan secara teliti agar tidak menjejaskan kepentingan jangka panjang orang Melayu dan Bumiputera khususnya dari sudut geo-politik, pemikiran aset dan kesimbangan demografi bandar.
Pengerusinya, Datuk Othman Desa berkata, aspek geopolitik, pemilikan aset serta keseimbangan demografi bandar harus diberi perhatian serius dalam proses penggubalan dan pelaksanaan RUU berkenaan.
“Veteran UMNO menyakini keperluan serta niat baik kerajaan dalam membentangkan RUU ini. Namun, kami menggesa agar segala pandangan dan cadangan penambahbaikan diteliti supaya tidak timbul kebimbangan seperti yang dibangkitkan sebelum ini.
“Ianya perlu melihat beberapa kelemahan, kelompongan terhadap undang-undang tersebut. Segala pandangan harus ditelitikan supaya segala yang tersurat dan tersirat itu dapat dibaiki” katanya semasa sidang media, hari ini.
Tambah beliau, kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera dalam pembangunan bandar perlu dijaga agar seiring dengan agenda pembangunan negara yang lebih inklusif dan adil.
Mengulas lanjut, Othman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata banyak perkara teknikal akan berlaku sekiranya RUU itu dikuatkuasakan tanpa penelitian yang mendalam.
Ujar Othman, kerajaan perlu memberikan jaminan bahawa setiap dasar yang diperkenalkan termasuk RUU URA ini tidak menjejaskan kepentingan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah.
Pada masa yang sama Veteran UMNO memandang berat ‘trend memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
“Veteran UMNO memberi amaran agar isu bendera tidak dijadikan alasan untuk mencetuskan provokasi kaum atau agama. Tindakan tegas dan segera perlu diambil untuk menyekat penyebaran sentimen negatif ini.
“Kami menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara agar menyegerakan pendakwaan terhadap mereka yang terbabit sama ada secara sengaja atau cuai,” ujarnya lagi. – UMNO Online