RUU URA Membimbangkan, Penindasan Terhadap Orang Melayu – Atiqah
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) digambarkan sebagai pembangunan dan pembaharuan bandar, namun hakikatnya menimbulkan kebimbangan, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Segambut, Nur Atiqah Najihah Hairudi.
Beliau berkata ini kerana ia merupakan pengambilalihan yang menjejaskan hak serta warisan komuniti.
“Puteri UMNO memandang serius cadangan pelaksanaan RUU URA.
“Ia dilihat bukan sebagai satu penyelesaian terhadap isu pembangunan bandar, tetapi lebih kepada suatu bentuk penindasan terhadap rakyat, khususnya masyarakat Melayu,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Atiqah berkata pembangunan sebenar harus bersifat adil dan telus,
Bagaimanapun katanya menerusi RUU URA dilihat lebih cenderung kepada penghapusan identiti sejarah dan warisan masyarakat setempat atas nama pembangunan.
“Penglibatan khususnya komuniti yang terjejas dan memastikan setiap dasar kerajaan berpaksikan prinsip keadilan, menyeluruh dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Puteri UMNO menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk pembangunan yang mengenepikan suara dan hak rakyat, terutamanya yang telah mendiami kawasan tersebut sejak turun-temurun.
“Kami menuntut RUU ini dikaji semula dengan penglibatan penuh masyarakat awam. Proses pembaharuan bandar seharusnya berpaksikan kepada keperluan rakyat, bukan keuntungan semata-mata,” ujar beliau. – UMNO Online