Pemuda UMNO Kilang Lahirkan Pemimpin Negara, Fokus Perjuangan ABATA – Fikhran Hamsi
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Genap 76 tahun lalu, tanggal 26 Ogos 1949 tercatat sebagai detik bersejarah penubuhan Pergerakan Pemuda UMNO, sayap anak muda lelaki yang menjadi tonggak perjuangan parti dan menjadi kilang melahirkan pemimpin negara.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamsi Mohamad Fatmi menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan selamat ulang tahun kepada seluruh kepimpinan serta ahli Pemuda UMNO di semua peringkat nasional, negeri, bahagian, cawangan dan akar umbi.
“Dengan penuh rasa syukur, saya merakamkan ucapan Selamat Menyambut Ulang Tahun Pemuda UMNO Ke-76 kepada seluruh kepimpinan dan ahli parti di setiap peringkat.
“Selama lebih tujuh dekad, Pemuda UMNO telah membuktikan ianya sebagai wadah penting yang melahirkan pemimpin-pemimpin berkaliber, berkarisma dan berkebolehan.
“Ramai daripada sayap ini telah menjadi menteri, timbalan perdana menteri, malah perdana menteri Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa ‘kilang’ Pemuda UMNO adalah medan sebenar melatih kepimpinan untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada UMNO Online
Mengulas lanjut, Fikhran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Bharu menjelaskan setiap era kepimpinan Pemuda UMNO cabarannya amat berbeza dan penggal ini dipimpin oleh Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
“Setiap era kepimpinan Pemuda UMNO berdepan cabaran yang berbeza. Pada penggal ini, di bawah pimpinan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, cabaran lebih kompleks kerana UMNO berada sebahagian daripada kerajaan.
“Namun kita dapat melihat bagaimana Dr. Akmal membawa Pemuda UMNO sebagai medium suara rakyat serta menjadi semak dan imbang kepada dasar kerajaan, serta turun langsung bersama masyarakat di lapangan. Pemuda UMNO juga dilihat sentiasa ke depan dalam isu-isu besar tanpa gentar, tanpa takut, serta tanpa mengira latar belakang politik apabila ia berkaitan suara majoriti rakyat.
“Rakyat dapat menyaksikan sendiri di media-media massa dan media sosial bagaimana Pemuda UMNO berani bersuara dalam memperjuangkan Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA) dan dalam masa yang sama rapat dan mesra dengan rakyat,” katanya lagi.
Seterusnya kata Fikhran lagi, seiring dengan perjuangan asal UMNO, Pemuda UMNO hari ini fokus untuk mengangkat semula misi ABATA.
“Kita akan terus membela Islam, menjulang bangsa Melayu, mempertahankan tanah air, serta menjaga kedaulatan Raja-raja, undang-undang dan Rukun Negara,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, dengan semangat ulang tahun ke-76 ini, menyeru agar seluruh akar umbi Pemuda UMNO terus memperbaharui tekad dan iltizam dalam meneruskan perjuangan parti.
“Marilah kita semua ahli dan kepimpinan Pemuda UMNO, memperbaharui tekad dan iltizam untuk meneruskan legasi perjuangan ini. Insya-Allah… Pemuda UMNO akan terus menjadi benteng pertahanan parti dan suara anak muda Malaysia.
“Selamat menyambut ulang tahun ke-76 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online