Menjelang Kemerdekaan: UMNO Beaufort Terus Fokus Isu Teras Rakyat

BEAUFORT, 28 Ogos – UMNO Bahagian Beaufort terus memperkukuh gerak kerja parti dengan penganjuran Program Merdeka Edaran Bendera dan Isi Minyak Percuma di beberapa lokasi terpilih sekitar daerah ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort merangkap Ketua UMNO Bahagian, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan pProgram yang berlangsung bersempena sambutan Hari Kebangsaan bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah menjadi wadah UMNO mendekati rakyat secara langsung.

Ujarnya, sambutan kemerdekaan kali ini menjadi isyarat jelas bahawa jentera parti kini berada dalam keadaan bersiap siaga dengan semangat yang tinggi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Menjelang sambutan Hari Kebangsaan, kita semarakkan dengan kekuatan akar umbi, kesepaduan pasukan dan semangat perjuangan, malah UMNO yakin mampu membawa kemenangan demi rakyat dan negeri tercinta,” katanya.

Sehubungan itu, Awang Aslee menekankan bahawa fokus utama UMNO/BN tidak boleh lari daripada isu-isu teras yang dekat dengan kehidupan rakyat.

Jelasnya, antara perkara yang diberi keutamaan ialah pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, pendidikan, perlindungan khazanah negeri serta tanah bumi (NT), kestabilan ekonomi, pengawalan harga barang, pembangunan desa dan juga pembangunan sosial.

“Dengan memberi tumpuan kepada agenda ini, UMNO dapat memperlihatkan komitmen sebenar dalam membela rakyat berbanding terikat dengan rundingan gabungan yang rapuh dan tidak menentu,” katanya.

Berkaitan program edaran bendera dan minyak percuma ini, beliau yakin ia akan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Kehadiran orang ramai bukan sahaja menzahirkan semangat cintakan negara, tetapi juga memperkukuh hubungan UMNO dengan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pelbagai acara lain juga dilaksana bersempena dengan sambutan kemerdekaan termasuk karnival bola sepak yang menyediakan hadiah wang tunai. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79