Kerajaan Komited Perkukuh Kawalan Kemasukan Pelawat Asing – Dr Shamsul Anuar
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa komited dalam memperkukuh kawalan ke atas kemasukan pelawat asing, khususnya dalam usaha membanteras penyalahgunaan kemudahan imigresen bagi tujuan bekerja atau berniaga secara tidak sah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pendekatan yang dilaksanakan merangkumi tiga peringkat utama antaranya pengisytiharan awal sebelum pelepasan (Declaration).
“Sebagai langkah kawalan awal, semua individu yang ingin memasuki Malaysia dikehendaki membuat pengisytiharan awal melalui sistem Malaysia Digital Arrival Card (MDAC), yang perlu dilengkapkan dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan. Ini membolehkan saringan awal dibuat bagi mengenal pasti sebarang risiko keselamatan atau ketidakpatuhan kepada peraturan imigresen, sebelum mereka tiba di pintu masuk antarabangsa.
“Sebagai pelengkap kepada sistem MDAC, kerajaan akan melaksanakan Advanced Passenger Screening (APS) mulai Disember 2025 sebagai mekanisme deklarasi dan penilaian risiko tambahan. Sistem ini menggunakan maklumat penumpang yang dibekalkan oleh syarikat penerbangan, seperti butiran pasport, rekod perjalanan, tiket pulang dan sejarah imigresen.
“Dengan maklumat ini, sistem APS membolehkan penapisan awal dilakukan sebelum pelawat dibenarkan menaiki pesawat ke Malaysia. Pelawat yang dikesan mencurigakan melalui APS boleh disekat awal, sekaligus mencegah kemasukan individu yang berpotensi untuk tinggal secara tidak sah atau menyalahgunakan visa. Gabungan data APS dan MDAC membolehkan penilaian dibuat secara komprehensif sebelum seseorang pelawat tiba di sempadan negara,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengurangkan penyalahgunaan kemudahan pengecualian visa kepada pelawat asing supaya tidak digunakan untuk membekalkan perkhidmatan dan berniaga bagi melindungi hak kepenggunaan dan perniagaan mikro tempatan serta kes penyalahgunaan yang dapat dikesan dan tindakan yang dikenakan.
Dr Shamsul seterusnya berkata pendekatan kedua adalah kawalan di pintu masuk antarabangsa (Authorization) yang mana setibanya di pintu masuk negara, pelawat akan melalui proses pemeriksaan manual oleh Pegawai Imigresen sebagai langkah pengesahan akhir sebelum diberi kebenaran masuk.
Tambahnya Pegawai Imigresen akan menyemak pasport, visa, tiket pulang, tempahan penginapan dan maklumat yang dikemukakan melalui MDAC dan APS, malah sesi soal jawab turut dilakukan bagi menilai kesahihan niat lawatan dan ketekalan maklumat yang diberikan.
“Dalam masa yang sama, data biometrik seperti cap jari dan wajah pelawat direkodkan untuk tujuan keselamatan dan pemantauan. Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau percanggahan maklumat, pelawat boleh diarahkan untuk menjalani pemeriksaan lanjut, ditolak masuk (Not to Land) atau ditahan sementara. Proses ini penting bagi memastikan hanya pelawat yang sah dan berintegriti dibenarkan masuk ke Malaysia.
“Ketiga penguatkuasaan di dalam negara (Enforcement). Bagi pelawat yang telah memasuki negara dan kemudiannya tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tindakan penguatkuasaan tegas dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Operasi seperti Ops Mega, Ops Sapu dan Ops Kutip dijalankan secara berkala di kawasan tumpuan seperti tapak pembinaan, premis perniagaan, rumah kongsi dan kawasan perumahan berisiko. Individu yang ditahan akan disoal siasat, dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda, penahanan dan seterusnya dihantar pulang ke negara asal. Mereka juga disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk tempoh tertentu atau seumur hidup,” ujarnya.
Ujar beliau lagi dalam masa yang sama, majikan atau mana-mana pihak yang melindungi, menggaji atau menempatkan pelawat yang tinggal lebih masa turut dikenakan tindakan undang-undang Imigresen secara menyeluruh dan tegas demi menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.
Malah tegas beliau penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan dan turut melibatkan kerjasama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Siasatan lanjut akan dijalankan, termasuk di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, khususnya terhadap kes menyalahgunakan Pas Lawatan untuk bekerja atau berniaga. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1,000, penjara tidak lebih enam (6) bulan, atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.- UMNO Online