Kerajaan Johor Terus Prihatin, Komited Bela Nasib Golongan Istimewa – Mohd Jafni
JOHOR BAHRU, 28 Ogos – Kerajaan Negeri Johor sentiasa meletakkan kebajikan dan keperluan golongan istimewa sebagai salah satu agenda utama dalam pembangunan negeri, sejajar dengan komitmen berterusan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, usaha memperkukuh sokongan kepada pusat-pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) adalah cerminan keprihatinan kerajaan negeri terhadap anak-anak istimewa yang memerlukan perhatian khusus.
“Pagi ini saya berkesempatan meluangkan masa bersama warga PDK Muafakat Permai dan suasana mesra serta sambutan ikhlas daripada anak-anak istimewa ini amat menyentuh hati. Senyuman mereka walaupun sederhana, cukup besar nilainya. Ia mengajar kita erti ketabahan dan keikhlasan dalam menghadapi ujian kehidupan.
“Di sebalik keceriaan mereka, tersimpan kekuatan luar biasa. Mereka mungkin diuji dengan kekurangan, tetapi semangat dan ketabahan mereka jauh melebihi apa yang kita mampu bayangkan. Mereka masih mampu ketawa, menyebarkan kebahagiaan kepada orang sekeliling, walaupun kehidupan mereka penuh cabaran,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Tambah Mohd Jafni, sepanjang berada di PDK Muafakat Permai, beliau dapat merasai sendiri aura kasih sayang dan keikhlasan yang jarang ditemui di tempat lain.
“Mereka mengajar bahawa kebahagiaan bukan terletak pada apa yang kita miliki, tetapi bagaimana kita menerima ketentuan Ilahi dengan hati yang redha. Ini adalah pengajaran besar untuk kita semua,” ujarnya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi amat cakna terhadap kebajikan golongan istimewa dan telah melaksanakan pelbagai inisiatif serta sokongan berterusan bagi membantu pusat-pusat seperti PDK Muafakat Permai terus berfungsi dengan baik.
“Kerajaan negeri amat menitikberatkan keperluan anak-anak istimewa ini. Kita sedar mereka bukan sahaja memerlukan perhatian dari segi pendidikan dan penjagaan, malah sokongan moral dan kemudahan infrastruktur juga amat penting untuk kesejahteraan mereka.
“Alhamdulillah, saya juga berkesempatan menyampaikan sumbangan bagi membantu menampung keperluan pengurusan harian PDK ini, di samping meneliti beberapa isu berkaitan baik pulih bangunan dan kemudahan asas yang akan kita selesaikan secepat mungkin,” jelasnya.
Katanya lagi, pendekatan mesra rakyat yang diterapkan oleh Kerajaan Negeri Johor bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat umum, tetapi lebih penting, turut melibatkan kumpulan rentan seperti anak-anak istimewa ini agar mereka tidak rasa tersisih dalam pembangunan negeri.
“Selagi diberi amanah dan kepercayaan, saya dan seluruh jentera kerajaan negeri akan terus berusaha sedaya upaya untuk membela nasib semua golongan termasuk mereka yang kurang upaya. Inilah tanggungjawab kita bersama,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh tenaga pengajar dan pengurusan PDK Muafakat Permai yang menunjukkan dedikasi tinggi dalam memastikan anak-anak ini mendapat penjagaan dan didikan yang terbaik.
“Peranan mereka sangat besar, dan kerajaan negeri amat menghargainya. Kita akan terus menyokong usaha murni ini demi masa depan anak-anak istimewa kita,” katanya lagi. – UMNO Online