Definisi RUU Pekerja GiG 2025 Sempit, Perlu Ada Penambahbaikan Perlindungan Sosial – Ahli Parlimen Tampin
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa berpendapat definisi RUU Pekerja GiG 2025 terlalu sempit dan tidak cukup meluas.
Menerusi perbahasannya di Parlimen beliau melontarkan beberapa persoalan antara lain apakah tafsiran ini hanya terpakai kepada pekerja-pekerja gig di platform e-hailing dan p-hailing sahaja atau turut meliputi sektor atau bidang ‘freelance’ yang lain seperti digital, penulisan, grafik dan sebagainya?
“Saya mohon agar perkara ini dijelaskan kerana jika tafsiran pekerja GiG ini kelihatan kabur atau sempit, saya bimbang banyak golongan pekerja yang mungkin terpingkir. Justeru itu, saya mohon agar KESUMA menyenaraikan kesemua bidang ekonomi gig yang akan mendapat manfaat menerusi RUU ini serta jaminan KESUMA bahawa tidak akan ada sebarang bidang atau perkhidmatan gig yang terkecuali,” katanya pada sesi perbahasan RUU pekerja GiG 2025.
Mohd Isam seterusnya melihat masih tiada jaminan bahawa pendapatan mereka tidak akan jatuh di bawah paras gaji minimum kerana masa menunggu mereka tidak diambil kira dan disebabkan itulah mereka sering berdepan dengan situasi pendapatan yang tidak stabil.
“Oleh itu, saya mencadangkan bahawa satu peruntukan dimasukkan yang boleh memastikan pekerja gig turut menerima bayaran minimum per jam atau tugas agar mereka tidak terus dieksploitasi oleh algoritma syarikat pengendali platform. Saya fikir, cadangan ini tidak keterlaluan dan wajar dipertimbangkan untuk kebaikan pekerja gig, khususnya dalam bidang e-hailing dan p-hailing,” ujarnya.
Mohd Isam turut menyentuh soal perlindungan sosial bagi pemotongan caruman keselamatan sosial secara automatik dan lebih mampu milik.
“Saya menyambut baik langkah ini dan kita tidak boleh menafikan realiti bahawa majoriti pekerja GiG, khususnya p-hailing yang bermotosikal berdepan dengan risiko keselamatan yang tinggi. Bagaimana pekerja gig ini boleh menjamin masa depan dan persaraan mereka jika hanya bergantung pada skim PERKESO asas sahaja?
“Saya sedar bahawa mungkin ada yang berpendapat bahawa bidang gig ekonomi ini merupakan bidang part time atau separuh masa. Namun, kita juga perlu menyedari bahawa terdapat sebilangan besar pekerja gig hari ini yang sudah mula bergantung kepadanya dan menjadikannya sebagai punca pendapatan utama keluarga.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar KESUMA mempertimbangkan caruman bersama antara pekerja dan syarikat pengendali platform, sekurang-kurangnya untuk simpanan KWSP yang asas. Mungkin KESUMA boleh memulakan dengan kadar yang lebih rendah seperti 3 peratus untuk pekerja dan 5 peratus untuk syarikat pengendali platform. Saya menggesa agar perlindungan sosial yang menyeluruh diberikan agar tidak timbul isu penindasan pekerja gig pada masa akan datang,” tambahnya. – UMNO Online