UMNO Johor Kecam Pas Main Politik Tanpa Fakta Isu Pelaburan Pusat Data RM164.45 Bilion
JOHOR BAHRU, 15 Ogos – UMNO Johor kesal dengan kenyataan Pas Johor yang didakwa cuba menakut-nakutkan rakyat berhubung pelaburan pusat data bernilai RM164.45 bilion di negeri ini, tanpa memahami fakta sebenar dan hanya bermotifkan politik murahan.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, setiap projek pusat data di Johor tidak dibangunkan secara sembarangan, sebaliknya perlu melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) yang dianggotai agensi teknikal dan bukan teknikal negeri serta Persekutuan.
Menurut beliau, Pas Johor tidak menyebut bahawa terdapat syarat ketat yang telah ditetapkan kerajaan negeri termasuk keperluan mematuhi Power Usage Effectiveness (PUE) amalan terbaik 1.4, Water Usage Effectiveness (WUE) amalan terbaik 1.8, penggunaan tenaga boleh diperbaharui secara berperingkat, serta pelaksanaan teknologi air pulih guna yang menjadikan Johor negeri pertama melaksanakannya untuk pusat data.
Langkah ini, jelasnya, memastikan bekalan air dan elektrik rakyat tidak terjejas.
“Kerajaan Negeri turut menetapkan strategi bersama universiti dan TVET bagi memastikan jawatan berkemahiran tinggi diisi oleh anak Johor. Tuduhan Pas bahawa peluang ini akan dimonopoli tenaga kerja asing hanyalah andaian yang memperlekeh kebolehan rakyat Johor,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Johor dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan akan mempergiat sesi libat urus bersama pelabur dan syarikat di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bagi merealisasikan kadar gaji minimum yang lebih kompetitif, termasuk sasaran RM4,000 sebulan bagi graduan. Perkara ini sedang diperhalusi melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) sebagai salah satu inisiatif strategik kerajaan negeri.
Md Israk menambah, setiap pelabur pusat data diwajibkan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan komitmen bertulis untuk menyalurkan manfaat terus kepada komuniti setempat. Hasil pelaburan tersebut akan meningkatkan infrastruktur, membuka peluang pekerjaan dan menjana ekonomi negeri.
Dalam masa sama, beliau membidas Pas Johor agar mencermin diri jika benar-benar prihatin terhadap kos sara hidup rakyat.
“Berapa gaji guru PASTI di Johor? Benarkah sekitar RM600? Apa pelan Pas untuk membantu guru PASTI, khususnya di bandar yang tertekan dengan kos sara hidup? Apa idea Pas untuk membangunkan kawasan SG4 selain retorik politik?” soalnya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional telah menubuhkan Task Force Kos Sara Hidup, bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan mengurus sumber air sendiri, dan memastikan pusat data menggunakan air terawat tanpa menjejaskan bekalan rakyat.
Katanya, Kerajaan Negeri Johor komited memastikan pelaburan pusat data ini bukan sahaja menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, malah mengutamakan kepentingan rakyat, kelestarian alam sekitar, dan kesejahteraan Bangsa Johor. Pelaburan mega seperti ini akan membuka peluang besar jika diurus secara bijaksana, dengan setiap langkah diambil untuk mengimbangi kemajuan teknologi dan kelestarian hidup rakyat.
UMNO Johor mengajak Pas Johor bersama-sama menjayakan agenda Maju Johor dan, jika benar ikhlas membela rakyat, menuntut 25 peratus pulangan cukai kepada Johor.
“Rakyat Johor tidak perlukan politik takut. Rakyat perlukan fakta, pelan dan keberanian untuk maju,” tegasnya. – UMNO Online