Suhaimizan Hargai Kerajaan Madani Senaraikan Sungai Gemencheh Dalam RTB
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani atas keprihatinan menyenaraikan Sungai Gemencheh dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menerusi satu hantaran di Facebook, Suhaimizan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tampin berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda kawasan tersebut.
“Saya mewakili seluruh keluarga komuniti DUN Gemencheh ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diatas keprihatinan beliau menyenaraikan Sungai Gemencheh dalam Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di bawah RMK Ke-13.
“Seperti yang kita sedia maklum, beberapa kawasan di dalam DUN Gemencheh sering terjejas teruk setiap kali banjir melanda. Justeru, komitmen Kerajaan Madani ini amat kami hargai dan kami berharap pelaksanaan RTB ini akan menjadi titik tolak kepada penyelesaian jangka panjang serta membawa sinar baharu buat rakyat Gemencheh. Terima Kasih PMX, Terima Kasih Kerajaan Madani,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, sebanyak RM20 bilion telah diperuntukkan bagi melaksanakan 103 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk mengurangkan risiko dan impak bencana berkenaan.
Antara projek RTB yang akan dilaksanakan termasuk di Sungai Langat dan Sungai Buloh, Selangor; Sungai Golok, Kelantan; Sungai Gemencheh, Negeri Sembilan; Sungai Baru, Melaka; Lembangan Sungai Johor dan Lembangan Sungai Muar, Johor; Lembangan Sungai Pahang; serta Bandaraya Kuching di Sarawak. – UMNO Online