Fathul Bari Sifatkan UMNO Parti Bernilai Tinggi, Terus Gilap Jadi Pilihan Rakyat

KANGAR, 26 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti bernilai tinggi yang kini perlu diperkasa dan digilap sebaik mungkin agar terus menjadi pilihan terbaik kepada rakyat, khususnya di Perlis.

Berucap sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Kangar yang dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, beliau berkata parti berkenaan memiliki nilai sejarah dan legasi yang luar biasa.

“UMNO ini macam kereta klasik macam Ford Mustang Delano 1967. Kalau kita biar berdebu di belakang rumah, orang tak nampak nilainya. Tapi bila kita gilap, ‘refurbish’ dan bawa semula ke jalan raya, dia jadi ‘king of the road’,” katanya.

Beliau turut menyentuh keperluan pemimpin memberi penjelasan kepada akar umbi berhubung keputusan-keputusan politik yang mungkin sukar difahami oleh segelintir pihak.

“Kadang-kadang pemimpin tak boleh dedah semua perkara. Ada isu yang tak sesuai untuk diumumkan, tapi ia dibuat demi kelangsungan perjuangan parti.

“Platform seperti mesyuarat UMNO bahagian, cawangan  adalah medan terbaik untuk kita jelaskan… Hari ini kita panggil Datuk Seri Presiden untuk terangkan kepada kita apa-apa isu, apa-apa pertimbangan politik yang telah dibuat yang sebenarnya untuk kepentingan, kelangsungan perjuangan parti,” katanya.

Fathul Bari turut menggariskan bahawa UMNO mempunyai warisan kepimpinan yang berterusan, yang perlu dipelihara oleh generasi baharu.

“Saya warisi perjuangan daripada Datuk Seri Azlan, Ruzaini Rais (UMNO Padang Besar) daripada Datuk Zahidi. Datuk Rozabil Abdul Rahman kini menerajui UMNO Perlis dan bahagian Arau.

“Ini legasi yang tidak boleh kita biarkan mati. Selama mana kita jaga nilai, sejarah dan legasi UMNO, insya-Allah perjuangan ini akan terus hidup,” katanya.

Beliau mengakhiri ucapan dengan keyakinan bahawa UMNO Kangar kini berada di landasan yang tepat dan bersedia menyambut kebangkitan semula parti itu di Perlis. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79