Sejahtera MADANI Cerminan Komitmen Kerajaan Noktah Kemiskinan Tegar – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan peluncuran Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) sebagai bukti nyata iltizam Kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan tegar secara menyeluruh dan bersepadu.

Majlis peluncuran inisiatif itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, Sejahtera MADANI merupakan satu pendekatan bersifat ‘whole of nation’ yang menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi merentas kementerian, agensi kerajaan serta sektor swasta bagi benar-benar menyentuh kehidupan Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih.

“Sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, saya menyambut baik pendekatan ini dan akan memastikan segala usaha melalui KKDW diselaraskan dengan penuh komitmen di peringkat akar umbi.

“Empat fokus utama diberi penekanan iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan. Pendekatan ini tidak bersifat jangka pendek semata-mata, tetapi disokong dengan sokongan yang lestari dan berterusan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Beliau berkata, pelaksanaan program ini turut diperkuat dengan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang akan disalurkan terus ke Tabung Kesejahteraan Rakyat, dan layak menerima potongan cukai yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Tambah beliau, pendekatan Sejahtera MADANI merupakan manifestasi kesungguhan Kerajaan untuk merakyatkan keprihatinan menerusi tindakan konkrit dan terancang.
Ahmad Zahid turut berharap agar Sejahtera MADANI dapat menjadi pemangkin perubahan yang mampu mengangkat martabat hidup rakyat, terutamanya mereka yang telah lama terperangkap dalam kitaran kemiskinan tegar.

“Semoga Sejahtera MADANI menjadi pemangkin kepada perubahan hidup rakyat yang lebih bermaruah dan sejahtera, khususnya bagi mereka yang telah lama terperangkap dalam kitaran kemiskinan tegar. Insya-Allah,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79