Sabah Terus Ketinggalan… Suhaimi Bawa Suara Rakyat Susulan Laporan Ketua Audit Negara
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir tampil dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara dengan membawa suara kepada rakyat Sabah yang katanya saban hari menanggung beban akibat sistem pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut beliau, rakyat kini bukan sahaja menuntut jawapan, malah yang lebih penting, mereka menuntut tindakan.
Suhaimi merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang antara lain meneliti pelaksanaan kaedah Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih (Pre-Q Terpilih) selain tumpuan kepada tiga kementerian utama iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), serta Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui pelaksanaan oleh JKR Sabah.
“Berdasarkan laporan Audit, JKR Sabah tidak mengemukakan senarai projek ketika pelawaan awal kaedah tender ini. Akibatnya, syarikat yang tidak layak termasuk yang gagal dari aspek teknikal dan kewangan masih diberi laluan ke peringkat seterusnya.
“Lebih membimbangkan, JKR Sabah juga dikenal pasti gagal memuktamadkan beberapa tender dalam tempoh munasabah. Ianya termasuk projek menaik taraf Jalan Telupid ke Kampung Lumou Baru yang mengambil masa 222 hari untuk dimuktamadkan,” katanya.
Ujar beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah, Laporan Ketua Audit Negara secara jelas merumuskan bahawa Kaedah Pre-Q Terpilih telah gagal mencapai matlamat mempercepatkan pelaksanaan projek selain ruang manipulasi dan ketidaktelusan terbuka luas.
“Syarikat-syarikat sama terus terpilih, seolah-olah ada pakatan dan kartel kontraktor, malah, terdapat kes di mana dokumen teknikal tidak lengkap pun diluluskan.
“Maka satu persoalan besar harus kita renungkan bersama iaitu mengapa pembangunan Sabah masih ketinggalan sedangkan peruntukan bernilai berbilion ringgit telah pun disalurkan?
“Jawapannya terletak pada kegagalan pentadbiran negeri di bawah GRS, khususnya JKR Sabah, yang cuai dan tidak cekap mengurus.”
Beliau turut mendedahkan bahawa di kawasan Libaran sendiri, projek naik taraf jalan dan kemudahan asas luar bandar sering kali tertangguh malah ada yang tidak dimulakan langsung.
Katanya, inilah akibatnya apabila amanah tidak dijunjung, duit rakyat hilang arah dan harapan rakyat terus dipersiakan.
Dalam ucapannya juga, beliau menegaskan bahawa UMNO sebagai tunjang Barisan Nasional (BN) bersama rakan dalam Kerajaan Perpaduan kekal konsisten dan komited membantu rakyat Sabah.
Namun, beliau mempersoalkan apa gunanya bantuan berbilion ringgit jika kerajaan negeri sendiri gagal menyampaikan manfaat kepada rakyat.
Berpandukan syor Ketua Audit Negara, Suhaimi mengemukakan beberapa cadangan konkrit iaitu penambahbaikan menyeluruh kaedah Pre-Q Terpilih, termasuk pemantapan garis panduan, pangkalan data syarikat yang telus dan sistem pemantauan bebas.
“Mekanisme pemantauan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, bagi memastikan projek berjalan mengikut perancangan dan tidak diseleweng dan penilaian projek berdasarkan hasil untuk rakyat iaitu bukan sekadar teknikal atas kertas, tetapi impak sebenar kepada komuniti,”
Dalam masa yang sama, beliau melahirkan penghargaan kepada Ketua Audit Negara atas laporan yang telus dan berani.
“Namun, sebaik mana pun laporan, jika tiada tindakan susulan, maka ia hanyalah kertas laporan tanpa makna.
“Rakyat Sabah tidak boleh lagi dijadikan mangsa kepada sistem yang longgar dan pentadbiran yang sambil lewa,” tegasnya lagi. – UMNO Online