Politik Khidmat Bakti, Kepelbagai Pendekatan UMNO Mampu Tarik Sokongan – Akmal Zarif
TAMBUN, 25 Julai – Ketua Pemuda UMNO Tambun, Akmal Zarif Ahmad Kamal percaya kombinasi politik khidmat bakti dan pelbagai pendekatan baharu serta strategik dalam mendepani perubahan landskap politik semasa mampu menarik sokongan pelbagai lapisan masyarakat termasuklah golongan pengundi muda.
Bagi beliau memang benar dan sememangnya DNA politik UMNO daripada dahulu higga ke hari ini perjuangannya berteraskan khidmat kepada masyarakat selain yang terkandung di dalam perlembagaan parti berkenaan.
“Memang itu DNA UMNO iaitu politik khidmat bakti. Tetapi kita perlu sedar bahawa generasi pengundi kini, khususnya pengundi muda, tidak lagi menilai atas jasa atau keringat lama. Mereka lebih dipengaruhi oleh sentimen dua minggu terakhir menjelang hari pengundian,” katanya kepada UMNO-Online.
Akmal Zarif seterusnya menekankan bahawa untuk UMNO terus relevan dan kembali dominan, parti mesti menang pilihan raya terlebih dahulu dan atas dasar berkenaan pelbagai pendekatan perlu diambil untuk menarik pelbagai kumpulan masyarakat.
“Kita nak menang kuasa… untuk itu, kita kena menang pilihan raya… Maka UMNO perlu sesuaikan pendekatan mengikut arus perkembangan cabaran politik semasa dalam usaha menarik pelbagai kumpulan masyarakat terutama golongan muda,” tambahnya.
Ketua Pemuda UMNO Tambun itu turut mengakui bahawa dalam keadaan politik yang semakin kompleks, tidak semua keputusan parti dapat difahami oleh rakyat di bawah.
“Kadang-kadang keputusan yang kita buat bukan mudah untuk difahami oleh rakyat. Tapi sebagai pemimpin, itu tanggungjawab kita. Keputusan tidak dibuat secara semberono, sebaliknya melalui mesyuarat dan pertimbangan yang matang untuk kepentingan parti dan rakyat.”
Dalam pada itu, Akmal Zarif turut menyatakan harapan agar UMNO kembali diberi ruang untuk berada secara rasmi dalam Parlimen Tambun, sejajar dengan komitmen parti terhadap rakyat di kawasan tersebut.
“Saya faham dalam dinamik politik semasa dan kerjasama BN-PH, segala urusan kerusi perlu dibincangkan secara rasmi dan berdasarkan kertas rundingan,” jelasnya.
Akmal Zarif turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan Pemuda UMNO Tambun yang telah selesai bermesyuarat minggu lalu, dan menyatakan komitmen beliau untuk terus memimpin Pemuda UMNO Tambun menjadi pasukan yang aktif, bersatu dan bersedia menghadapi cabaran politik mendatang.
“Insya-Allah, kita akan pastikan suara UMNO kekal kuat di Tambun, dan Pemuda akan terus menjadi benteng hadapan dalam memastikan UMNO sentiasa dekat di hati rakyat, termasuk anak-anak muda,” tegas beliau lagi. – UMNO Online