Pertubuhan Sukan, Belia Main Peranan Sebagai Platform Bina Jati Diri

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan pertubuhan sukan dan belia memainkan peranan penting sebagai platform pembinaan jati diri dan pemerkasaan generasi muda.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata ini kerana pertubuhan  bukan hanya untuk mencipta kejayaan dalam bidang sukan atau aktiviti belia semata-mata, tetapi turut menitikberatkan pembentukan nilai kepimpinan, perpaduan serta sahsiah diri.

“Kita mahu lihat pertubuhan sukan dan belia Negeri Sembilan terus berkembang sebagai wadah pembangunan sahsiah, kepimpinan dan perpaduan.

“Bukan hanya melahirkan juara di arena politik dan aktiviti, tetapi juga membentuk warganegara yang berprinsip, berakhlak dan berbakti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jalaluddin berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya ke Majlis Penyampaian Dana Bantuan Pentadbiran Kepada Persatuan Sukan Negeri, Majlis Belia Negeri, Majlis Belia Daerah dan Kelab-kelab Belia Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung semalam.

Katanya bagi menyokong golongan belia, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM185,500.00 kepada 39 persatuan sukan negeri iaitu sebanyak RM78,000.00 dan untuk Majlis Belia Negeri, Majlis Belia Daerah serta Kelab-kelab Belia sebanyak RM107,500.00.

Menurut beliau peruntukan tersebut bagi memperkasa golongan belia menerusi aktiviti bermanfaat sekaligus menyumbang secara positif kepada keharmonian dan kemajuan negeri. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79