Perlis Boleh Berubah, Kombinasi Baharu Dan Lama Kukuhkan Momentum UMNO – Dr Asyraf Wajdi
KANGAR, 25 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menzahirkan keyakinan bahawa negeri Perlis sedang menjadi antara contoh terbaik kebangkitan UMNO melalui kepimpinan generasi muda yang segar, berani dan berpadu tenaga di samping tokoh-tokoh lama yang berpengalaman.
Berucap pada majlis Perasmian Mesyuarat Serentak Wanita dan Sayap UMNO bahagian Kangar, beliau seterusnya menjelaskan tiga bahagian UMNO di Perlis kini diterajui oleh wajah-wajah baharu dengan kombinasi pimpinan lama lain yang sudah pasti memberi impak serta natijah yang baik untuk parti.
“Perubahan itu sebenarnya kita boleh nampak, terutamanya di Perlis. Kita jangan mengharapkan kelemahan orang, kita harus membina kekuatan kita sendiri.
“Dua minggu lepas, saya merasmikan mesyuarat perwakilan Arau dan saya melihat dan berpandukan data-data serta maklumat yang kita dapat dari Ibu Pejabat antara negeri-negeri yang paling saya rasa nampak perkembangan yang cukup positif adalah negeri Perlis.
“Salah satunya kerana, tiga-tiga bahagian ini diketuai oleh orang muda dan orang wajah baru… Tidak bermakna kita mengenepikan orang lama. Itu pantang nombor satu dalam UMNO… walau kita sudah naik, jangan lupa yang bawah. Walau kita dah naik, jangan lupa orang lama,” katanya.
Turut serta pada majlis perasmian berkenaan Ketua UMNO bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, pimpinan Wanita serta sayap UMNO yang lain.
Dr Asyraf seterusnya melontarkan keyakinan bahawa kemenangan bukan sesuatu yang mustahil, namun memerlukan kesungguhan dan gerak kerja seperti mereka yang benar-benar mahu menang.
“Semangat, daya juang yang tinggi di kalangan orang-orang muda dan pimpinan yang lain cukup baik dan insya Allah bila bergabung antara orang lama dengan orang muda ini, impak dan kesan natijah dia insya Allah. Kita akan mampu untuk ambil balik, rampas balik Perlis,” ujarnya lagi. – UMNO Online