Perbahasan SUHAKAM Bukti Kerajaan Pelihara Hak Asasi Manusia – Azalina

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) semalam di Dewan Rakyat menjadi bukti bahawa kerajaan memelihara hak asasi manusia semua lapisan masyarakat dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laporan tersebut meliputi pelbagai bidang antaranya pendidikan, pemerkasaan dasar, perundangan dan koordinasi antarabangsa.

“Pada Khamis saya telah membentangkan Usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM bagi Tahun 2023 di Dewan Rakyat agar Ahli-Ahli Parlimen berpeluang membahaskan isu-isu serta syor-syor yang terkandung dalam Laporan tersebut.

“Antara bidang utama yang terkandung dalam laporan tersebut termasuk pendidikan dan promosi hak asasi manusia; pemerkasaan dasar; perundangan dan koordinasi antarabangsa; pengurusan aduan dan pemantauan serta pengurusan kewangan SUHAKAM,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia turut berharap agar perbahasan tersebut menjadi titik tolak kepada lebih banyak usaha-usaha reformasi yang berterusan.

“Pembentangan dan perbahasan terhadap laporan tahunan ini merupakan bukti jelas komitmen kesungguhan berterusan Kerajaan Madani dalam menjaga serta memelihara hak asasi manusia untuk semua lapisan masyarakat dalam negara.

“Saya berharap agar perbahasan ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak usaha-usaha reformasi berterusan, ke arah Malaysia yang lebih prihatin, adil, dan inklusif,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan Kerajaan Madani kekal teguh dalam komitmen untuk memastikan prinsip-prinsip hak asasi manusia dihormati dan dilaksanakan secara adil serta saksama.

Ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat Azalina berkata, jaminan terhadap hak-hak asasi manusia ini menjadi tanggungjawab utama kerajaan untuk memelihara, melindungi, dan menjunjung tinggi hak-hak ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79