Pembinaan LMS Berjalan Lancar, Bakal Luncur April 2026 – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Pembinaan tiga buah Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch Kedua berjalan lancar dan bakal diluncurkan pada April 2026, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah mengambil peluang untuk membuat tinjauan kemajuan pembinaan aset ketenteraan tersebut dalam rangka lawatan kerja ke Republik Turkiye.
“Dalam rangka lawatan kerja ke Republik Türkiye, saya telah mengambil peluang membuat tinjauan kemajuan pembinaan tiga buah LMS Batch Kedua untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Istanbul Shipyard.
“Pembinaan LMS Batch Kedua dilaksanakan oleh syarikat pertahanan Türkiye, Savunma Teknolojileri Mühendislik (STM) dan merupakan perolehan pertama selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan dengan Kerajaan (G2G) bagi perolehan produk pertahanan.
“MoU G2G tersebut telah dimeterai ketika lawatan rasmi sulung saya ke Türkiye pada Jun tahun lalu. Sudah tentunya kemajuan pembinaan ini penting kerana ia menjadi kayu ukur kepada pendekatan perolehan baharu oleh kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perolehan aset tersebut disusuli dengan Program Kolaborasi Industri (ICP) yang berpotensi memberikan impak terhadap industri pertahanan tempatan.
“Ketika di Istanbul Shipyard, saya menerima taklimat kemajuan pembinaan tiga buah LMS Batch Kedua tersebut oleh kepimpinan STM. Pembinaan berjalan lancar dan kapal pertama dijangka diluncurkan pada April 2026. Ia diikuti yang kedua pada Jun, dan yang ketiga pada Ogos 2026.
“Perolehan ini disusuli ICP yang berpotensi memberikan impak terhadap industri pertahanan tempatan, misalnya melalui pemindahan teknologi. Ia akan dimuktamadkan sebelum berakhir tahun ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar hubungan baik dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkiye berupaya melonjak industri pertahanan tempatan di samping mengukuhkan kedaulatan negara.
“Türkiye telah melalui proses yang serupa sebelum menempa nama sebagai salah satu negara pengeluar produk pertahanan. Melalui ICP dan secara berfasa, Türkiye berjaya membangunkan industri pertahanan tempatannya.
“Malaysia mempunyai aspirasi yang sama. Semoga hubungan baik antara dua negara dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Türkiye ini berupaya melonjak industri pertahanan tempatan dan pada masa yang sama, mengukuhkan kedaulatan negara,” katanya lagi. – UMNO Online