‘Pas/PN Hanya Main Tafsiran Politik Tidak Berfakta’ – Shahaniza

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin membidas kepimpinan Pas/Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan beliau sebagai memainkan sentimen tidak berfakta.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran berkata, ini kerana pentadbiran negeri Pahang diketuai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah membuktikan komitmen terhadap agenda rakyat.

“Apa yang cuba digambarkan oleh Pas–PN hanyalah tafsiran politik semata-mata.

“Hakikatnya, kerajaan negeri Pahang di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy tidak pernah lari daripada fokus rakyat.

“Malah merekodkan pencapaian tertinggi dalam pelaburan, pengurusan bencana, pembangunan luar bandar dan kebajikan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Shahaniza berkata ini termasuk isu tanah Raub yang diselesaikan secara berhemah.

Katanya, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam kerajaan campuran, namun kerajaan Pahang tetap mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang serta menghormati prinsip rundingan.

“Bukankah lebih baik berbeza pendapat dalam usaha menjaga kepentingan rakyat, daripada hanya pandai berteori di luar pentadbiran?” soal beliau.

Menurut beliau ini termasuk projek infrastruktur dipantau rapi dan berfasa oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri mengakui wujud kelewatan dalam beberapa projek tetapi proses penambahbaikan sedang giat dijalankan.

“Bahkan, lebih RM5 bilion pelaburan langsung domestik dan asing telah masuk ke Pahang sepanjang tahun lalu,” ujar beliau.

Shahaniza dalam pada itu berkata, Pas/PN juga sebelum ini pernah diberi peluang mentadbir kerajaan Pusat, namun gagal menyelesaikan isu-isu asas rakyat.

“Jika benar PAS/PN bersedia, kenapa sewaktu mereka berkuasa di peringkat Pusat, masalah infrastruktur luar bandar tetap gagal diselesaikan?” katanya.

Katanya ia memberikan isyarat bahawa Pas/PN juga tiada kredibiliti dalam melaksana urus tadbir negeri.

“Pas/PN pernah duduk dalam kerajaan Pusat. Rakyat masih ingat bagaimana isu ekonomi, peluang pekerjaan, bantuan rakyat dan pendidikan terabai ketika itu. Jangan hanya tahu menuding jari-bila diberi amanah, mereka gagal.

“Aspirasi Pahang 1st ialah dasar menyeluruh meliputi ekonomi, pendidikan, sosial, belia, digital dan alam sekitar. Bukan slogan kosong. Ia dasar rasmi Kerajaan Negeri yang sedang dilaksanakan dengan strategi dan belanjawan yang jelas,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79