Lahirkan Lebih Ramai Pemimpin, Masa Depan UMNO – Dr Fathul Bari
KANGAR, 25 Julai — Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berpandangan UMNO perlu melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis demi kelangsungan kejayaan parti pada masa akan datang.
Dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Serentak Perwakilan Wanita dan Sayap UMNO Bahagian Kangar hari ini, beliau berkata program seperti mesyuarat seumpama itu harus menghasilkan natijah yang benar-benar memberi kesan kepada hala tuju parti.
“Kita berkumpul bukan sekadar untuk bercakap atau tepuk tangan. Kita mahu hasil. Kita buat persiapan ini secara abnormal tiga bulan sebelum, kita mula rancang dari segi konsep dan matlamat. Saya tak mahu sekadar retorik,” katanya.
Majlis perasmian mesyuarat serentak Wanita dan Sayap UMNO bahagian Kangar disempurnakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Turut hadir pimpinan dan perwakilan lain.
Dr Fathul Bari turut menegaskan bahawa kehadiran tokoh seperti Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk merasmikan mesyuarat berkenaan bukan hanya untuk ucapan semata-mata, tetapi untuk menyuntik idea, nasihat dan teguran membina kepada akar umbi.
“Kita tak mahu Datuk Asyraf datang, bercakap, kita tepuk tangan, kemudian balik tanpa apa-apa. Kita nak beliau tinggalkan sesuatu yang boleh diambil dan dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut menyentuh nilai sejarah UMNO yang tidak boleh dinafikan walau apa jua persepsi masyarakat.
“Kita ini parti yang ada sejarah tersendiri. Orang nak kata apa pun, UMNO telah menyumbang pembangunan ekonomi, pendidikan, pentadbiran negara dengan begitu cemerlang. Itu fakta sejarah yang tak boleh dipadam,” katanya.
Namun katanya lagi kejayaan masa lalu tidak cukup sekiranya UMNO gagal melahirkan legasi baharu yang mampu meneruskan perjuangan dalam bentuk lebih segar dan relevan.
“Kita nak tinggalkan legasi, bukan hanya program. Tak kira kita ada lebih 300 program sekalipun itu bukan ukuran. Ukuran sebenar ialah sejauh mana kita boleh hasilkan pemimpin yang ada arah, ada pelan, dan ada keberanian untuk memimpin,” ujarnya. – UMNO Online