Kerajaan Negeri Melaka Komited Perluas Inisiatif Perpaduan Komuniti – Rais Yasin

Melaka, 25 Julai – Kerajaan Negeri Melaka akan terus menyokong penganjuran program berbentuk komuniti seperti Mini Karnival Taman Bandaraya Bukit Serindit yang terbukti mampu memperkukuh perpaduan dan menyemai semangat muhibbah dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pelaksanaan program seperti ini wajar diperluas ke kawasan-kawasan lain di seluruh negeri kerana bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, tetapi juga menghidupkan kembali fungsi taman bandar sebagai pusat riadah dan penyatuan komuniti.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka akan terus menyokong peluasan inisiatif seumpama ini ke kawasan lain di negeri Melaka dan seterusnya dapat menjayakan agenda perpaduan serta semangat muhibbah dalam kalangan komuniti,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutup Mini Karnival berkenaan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Duyong, baru-baru ini.

Beliau yang juga ADUN Paya Rumput turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), LPPKN, SWCorp dan pelbagai agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program tersebut.

Terdahulu, Mini Karnival yang dilaksana itu padat dengan pelbagai pengisian termasuk Program Zumba, Rekabentuk Upcycle, penukaran tong sampah, serta ceramah kesihatan dan pendidikan.

Menurut Rais, usaha seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi medan untuk merapatkan hubungan masyarakat setempat serta memupuk nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.

Taman Bandaraya Bukit Serindit jelasnya, kini berperanan lebih besar sebagai pusat komuniti yang aktif dan harmoni.

Beliau turut menyatakan komitmen penuh Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha pihak berkuasa tempatan dan semua agensi untuk menjadikan taman-taman awam sebagai simbol perpaduan rakyat Melaka. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79