Kemudahan Moden Di Klinik Air Mawang, Penduduk Tarik Nafas Lega – Saiful Yazan

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Penduduk kawasan luar bandar Air Mawang kini menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik selepas bangunan baharu Klinik Desa Air Mawang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman.

Menurut beliau, penambahbaikan fasiliti itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat akses kesihatan berkualiti.

“Klinik Desa Air Mawang adalah kemudahan penting bagi penduduk luar bandar, terutamanya di kawasan Air Mawang dan sekitarnya, kerana ia menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan asas. Walaupun berstatus klinik desa, fasilitinya kini lebih komprehensif termasuk memiliki bilik rawatan, bilik suntikan dan penyusuan serta bilik Point-of-Care Testing (POCT).

“Klinik Desa Air Mawang ini merupakan sebuah klinik desa berstruktur kayu yang telah berusia melebihi 30 tahun, dan mendapat peruntukan untuk dinaiktaraf menerusi pembinaan semula bangunan lama yang usang kepada struktur konkrit yang lebih moden, kukuh dan selesa.

“Bangunan baharu Klinik Desa Air Mawang ini boleh menampung sehingga 20-30 pesakit sehari dan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada ibu mengandung, bayi dan kanak-kanak sehingga usia lima tahun, serta khidmat nasihat perancang keluarga dan rawatan penyakit tibi melalui sistem Directly Observed Treatment, Short-course (DOTS),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Saiful Yazan, pembinaan bangunan baharu Klinik Desa Air Mawang ini dapat memberikan manfaat kepada hampir 2000 penduduk di sekitar dan kampung berhampiran.

Mengulas lanjut, kata Saiful Yazan lagi walaupun tiada doctor tetap ditempatkan, tapi kemudahan telah disediakan bagi membolehkan pegawai perubatan menjalankan lawatan berkala.

“Meskipun tiada doktor tetap, ruang untuk pegawai perubatan juga disediakan bagi membolehkan pegawai perubatan menjalankan lawatan berkala, sekali gus mengurangkan beban di Klinik Kesihatan Johol.

“Semua pihak meletakkan pendidikan kesihatan di akar umbi sebagai keutamaan agar rakyat diperkasa dan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri, keluarga dan komuniti,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan: Datuk Mohammed Abdullah; Dr. Noraliza binti Radzali; Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Pila; Ketua-ketua Jabatan, Pengerusi-pengerusi JPKK dan masyarakat setempat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79