Akta Anti-Buli Perlu Digubal Segera – Ketua Wanita UMNO Sabah
KOTA KINABALU, 25 Julai – Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris menggesa kerajaan menggubal segera Akta Anti-Buli susulan kematian tragis pelajar, adik Zara Qairina Mahathir yang dipercayai menjadi mangsa buli di sekolahnya.
Dalam kenyataan tegas, beliau menyifatkan insiden menyayat hati itu bukan sekadar tragedi peribadi, sebaliknya tamparan besar terhadap sistem pendidikan negara jika benar wujud unsur kelalaian dan kecuaian dalam melindungi pelajar.
“Kematian adik Zara bukan sekadar cerita sedih. Ia adalah tragedi menyakitkan, terutama jika terbukti benar bahawa Zara adalah mangsa buli di sekolahnya. Sudah tiba masanya Akta Anti-Buli digubal kerana isu ini menyentuh aspek keselamatan pelajar, tanggungjawab institusi pendidikan dan keadilan kepada mangsa,” ujarnya.
Beliau menegaskan tanpa undang-undang khusus, kebanyakan kes buli hanya dilihat sebagai salah laku disiplin dan tidak diklasifikasikan sebagai jenayah serius.
Katanya, Akta Anti-Buli yang digubal secara menyeluruh akan memperuntukkan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk sekolah, asrama atau institusi pendidikan yang gagal bertindak atau cuba menutup kes buli yang berlaku di bawah jagaan mereka.
“Ia akan memberi mesej jelas bahawa isu buli bukan kesalahan remeh. Ia jenayah serius yang tidak boleh dikompromi. Kita perlu ubah budaya ‘normalisasi buli’ yang masih berlaku secara senyap di sekolah atau IPT.”
Mengulas kes Zara, Noraini menegaskan pihak sekolah perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana kejadian berlaku di dalam kawasan institusi berkenaan.
“Bayangkan kalau kawasan sekolah bukan lagi menjadi tempat selamat untuk ibu bapa menghantar anak-anak mereka. Guru-guru, warden asrama dan pentadbir sekolah perlu melaksanakan amanah yang diberikan oleh ibu bapa dan kerajaan untuk melindungi pelajar,” katanya.
Menurut beliau, sudah tiba masanya sistem aduan berkaitan buli diwujudkan secara bebas, terlindung dan boleh dipercayai.
“Kita tidak perlukan lagi kenyataan berbaur penyesalan. Kita perlukan tindakan. Kehilangan anak bukan luka sehari dua. Ia luka yang menuntut seluruh sistem untuk bersama-sama memikulnya,” katanya penuh emosi.
Noraini juga berharap agar kematian Zara menjadi titik akhir kepada kelalaian semua pihak dalam menangani isu buli.
“Jika kita masih memilih untuk menangguh undang-undang ini, maka kita sedang membuka pintu kepada tragedi seterusnya. Dan kali ini, kita tidak boleh kata kita tidak tahu.” – UMNO Online