UMNO Tampin Fokus Tawan Semula Gemas, Kukuhkan Kedudukan Parti
TAMPIN, 24 Julai – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Tampin akan terus menggandakan usaha bagi memastikan kemenangan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh serta merampas kembali Gemas ke tangan parti ini.
Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, UMNO Tampin akan terus komited bagi memastikan jentera parti bergerak secara tersusun dan mematuhi perancangan agar sasaran kemenangan dapat dicapai.
“Kita terus berusaha untuk memastikan kemenangan di Parlimen Tampin, DUN Gemencheh dan merampas kembali Gemas ke tangan UMNO/BN.
“Saya mahukan jentera-jentera UMNO ikut apa yang diarahkan dan di peringkat cawangan harus dekati pengundi-pengundi bagi memastikan kemenangan. Apa yang ldiihat hari ini bahawa UMNO Tampin dalam keadaan aman dan damai serta fokus pada gerak kerja bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya nanti.
“Kita tidak boleh mengikut kaedah lama lagi, kena ikut peredaran zaman terutamanya mendekati anak-anak muda. Pendekatan kini amat berbeza dan kena sesuaikan dengan keadaan sekarang untuk memastikan anak-anak muda bersama dengan UMNO. Yang paling bermakna adalah solidariti bersama, seia sekata,” katanya di Dewan Perdana Tampin, baru-baru ini.
Turut hadir Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO (BPUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lassim; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mustapa Nagoor; Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli, ADUN-ADUN Kerajaan Negeri Sembilan dan pemimpin bahagian empat peringkat.
Mengulas lanjut, Mohd Isam yang juga Ahli Parlimen Tampin menjelaskan pendekatan seperti menyertai aktiviti ‘ride’ atau program lain harus digiatkan oleh jentera parti bagi memastikan anak-anak muda merasa dekat dan terlibat secara langsung.
“Saya mahukan semua jentera-jentera mendekati anak muda dengan cara yang mereka minat. Kalau pengundi muda suka ‘ride’, turun ke sungai dan jentera harus mengikuti langkahnya dan insya-Allah, mereka akan kembali menyokong UMNO/BN.
“DUN Gemas ini bukannya sukar untuk UMNO menawan kembali, program berterusan mengikut zon-zon dan dekati pengundi-pengundi,” katanya lagi.
Pada masa yang sama Mohd Isam menegaskan jentera parti perlu keluar dari zon selesa dan tidak hanya berlegar-legar dalam kalangan ahli semata-mata.
“Saya khuatir ahli parti berlegar sesama ahli sedangkan kita mahukan jentera-jentera terus mendekati pengundi walaupun pengundi itu ibarat pendukung parti lain tetapi bukan bermakna tidak boleh ‘tackle’ mereka.
“Insya-Allah… apa yang dilakukan selama ini dan sampai masa pilihan raya mereka (pengundi) akan lihat kewibawaan, tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan calon tersebut dan paling penting ianya bersih dari segala-galanya malah pada masa akan datang kita boleh menawan DUN Gemas ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online