UMNO Pahang Sokong Laksana Titah Addendum, Fokus Hadapi PRN Sabah Dan Bencana Banjir
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang telah mengadakan mesyuarat malam tadi yang membincangkan beberapa perkara utama termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana banjir di negeri terbabit serta perkembangan terkini berkaitan isu Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mesyuarat turut menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah atas perkenan mengabsahkan Titah Addendum berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap mantan Perdana Menteri itu.
“Perkenan tersebut turut diperjelas melalui warkah rasmi baginda kepada Datuk Mohd Nizar Najib, Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan merangkap anakanda kepada Datuk Seri Najib pada 2 Disember 2024,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat itu.
Menurut Wan Rosdy, warkah tersebut secara tidak langsung turut mengabsahkan afidavit yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beliau sendiri dalam prosiding mahkamah sebelum ini yang telah diketepikan atas alasan “hearsay”.
“Dengan kewujudan Titah Addendum yang telah diakui oleh pihak pendakwaan, UMNO Pahang berpandangan bahawa adalah wajar titah tersebut dilaksanakan,” katanya.
Sehubungan itu, UMNO Pahang menyambut baik dan menyokong kenyataan yang dibuat oleh 160 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara yang memohon agar Perdana Menteri melaksanakan titah tersebut.
“UMNO Pahang juga merakamkan penghargaan atas keterbukaan serta kesediaan Perdana Menteri untuk bertemu dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu ini,” ujar beliau lagi.
Dalam mesyuarat sama, katanya, UMNO Pahang turut meneliti langkah-langkah awal menghadapi musim tengkujuh dan banjir yang dijangka melanda beberapa kawasan negeri tidak lama lagi, serta merangka strategi jentera parti bagi membantu kempen PRN Sabah akan datang. – UMNO Online