Shahaniza Bidas Pas… Kerajaan Pahang Kini Memang Dipimpin Oleh Melayu-Islam
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Kerajan Negeri Pahang hari ini sudah pun dipimpin oleh pemimpin Melayu-Islam, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau membidas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andasura Rabu yang mengatakan bahawa kuasa politik di Pahang perlu dikembalikan kepada orang Melayu-Islam.
“Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan seorang pemimpin Pas yang mendakwa kononnya kuasa Kerajaan Negeri Pahang hari ini perlu dikembalikan kepada Melayu Islam.
“Hakikatnya, Kerajaan Negeri Pahang hari ini sudah pun dipimpin oleh Melayu-Islam Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, lapan daripada sepuluh barisan exco, penjawat awam… semuanya anak jati Pahang beragama Islam.
“UMNO/Barisan Nasional (BN) telah lama mempertahankan institusi Raja, agama Islam dan bangsa Melayu. Bukan melalui laungan semata, tetapi melalui dasar, perkhidmatan dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang menegaskan bahawa Negeri Pahang adalah milik rakyat dan bukan kepunyaan mereka yang hanya pandai membakar sentimen.
“Islam bukan milik satu parti. Melayu bukan hak eksklusif sesiapa. Negeri Pahang ini milik rakyatnya… bukan milik mereka yang hanya pandai membakar sentimen.
“Saya tetap berdiri teguh bersama kerajaan negeri hari ini di bawah payung Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang demi kestabilan, kemajuan dan maruah negeri ini.
“Kami bukan sibuk menjerit Islam, kami berkhidmat untuk Islam,” katanya lagi.
Pada minggu lalu media melaporkan Andasura menggesa agar kuasa politik di Negeri Pahang dikembalikan kepada orang Melayu-Islam susulan tindakan UMNO/BN mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan pengkhianatan terhadap rakyat Pahang dan mencerminkan keghairahan parti itu untuk mengekalkan kuasa walaupun terpaksa mengetepikan prinsip. – UMNO Online