River Cruise Sungai Linggi Lonjak Eko Pelancongan Melaka, Bantu Ekonomi Nelayan – Abdul Razak
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sedang melaksanakan Pembangunan Eko Pelancongan di Muara Sungai Linggi di Dewan Undangan Negeri (DUN), Kuala Linggi.
Menurut beliau projek ini adalah kesinambungan dari pembangunan Eco Cruise Sungai Linggi yang beroperasi di Jeti Paya Lebar.
“Pihak Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dalam peringkat melantik perunding bagi melaksanakan projek tersebut melalui peruntukan yang diluluskan dibawah RP5, RMK-12.
“Pelaksanaan River Cruise di Sungai Linggi akan merancakkan lagi ekonomi dan limpahan penambahan pendapatan kepada komuniti nelayan tradisional dan komuniti setempat
“Melalui pertambahan kehadiran pengunjung dengan menjual hasil tangkapan sungai dan laut, produk kraf tangan, makanan dan inap desa yang diusahakan oleh penduduk sekitar Kuala Linggi,” katanya pada sesi pertanyaan lisan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semalam.
Berhubung pertanyaan yang dibangkitkan ADUN Kuala Linggi, Rosli Abdullah mengenai cadangan mewujudkan River Cruise di sungai Linggi dan perancangan kerajaan negeri terhadap nelayan-nelayan tradisional di kawasan tersebut, Abdul Razak menjelaskan pelbagai perancangan telah diambil demi kepentingan masyarakat setempat.
“Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Melaka bagi tahun 2025, seramai 47 orang nelayan sungai berdaftar / berlesen yang menangkap ikan di Sungai Linggi.
“Dalam perancangan awal, Kerajaan Negeri akan memastikan kebajikan dan kepentingan nelayan tradisional yang mencari rezeki di kawasan Sungai Linggi diambil kira,” ujarnya.
Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas seterusnya menambah antara langkah-langkah yang sedang dirancang bagi memastikan nelayan tidak dipinggirkan termasuklah menyediakan pelan mitigasi yang sesuai bagi mengelakkan gangguan kepada aktiviti perikanan tradisional.
“Keduanya mewujudkan peluang pekerjaan dan penyertaan nelayan dalam projek pelancongan tersebut seperti menjadi pengendali bot, pemandu pelancong sungai dan vendor makanan laut tempatan bagi yang berminat serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Seterusnya menawarkan latihan kemahiran dan pengetahuan kepada komuniti setempat agar mereka dapat terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan yang dicadangkan.
“PPSPM juga akan menyediakan tambahan dua (2) buah bot bagi aktiviti Eco Cruise Sungai Linggi yang menawarkan pakej makan dalam bot sama ada sarapan pagi, atau minum petang yang akan beroperasi setiap hari,” ujarnya.
Ujarnya lagi, selain usaha-usaha yang diambil di bawah portfolio, Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, pelbagai usaha juga dilaksanakan di bawah portfolio Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan oleh Datuk. Dr. Muhamad Akmal Saleh bagi menjamin kebajikan komuniti nelayan,” ujarnya.- UMNO Online