Pembangunan Negeri Perlu Dana Sendiri, UMNO Johor Sokong Pulangan Hasil

JOHOR BAHRU, 24 Julai – UMNO Johor menyatakan sokongan penuh terhadap titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang menzahirkan gesaan agar Kerajaan Persekutuan memulangkan sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan yang disumbangkan oleh negeri Johor demi pembangunan negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah, gesaan tersebut adalah berasaskan keperluan strategik dan bukannya satu desakan kosong, selari dengan hak Johor sebagai antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

“UMNO Johor menjunjung setinggi-tinggi titah DYAM Tunku Mahkota Ismail. Ia merupakan langkah wajar dan strategik untuk memperkasa keupayaan kewangan negeri dalam membela kebajikan rakyat melalui pelbagai projek pembangunan asas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, UMNO Johor juga menyambut baik kenyataan Menteri Besar Johor yang memperkukuh cadangan tersebut dengan fakta prestasi ekonomi negeri yang memberangsangkan, termasuk pencapaian pelaburan tertinggi di Malaysia serta pertumbuhan KDNK yang melebihi purata nasional.

Tambah beliau, pemulangan hasil itu akan membawa beberapa manfaat utama:
1. Mempercepatkan pelaksanaan projek-projek rakyat secara lebih berkesan;
2. Meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, prasarana jalan raya yang efisien, serta pengurusan bencana yang cekap;
3. Mengukuhkan kedudukan fiskal negeri Johor sebagai rakan kongsi strategik kepada Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan negara.

“UMNO Johor kekal bersama Kerajaan Persekutuan dalam semangat kebersamaan, namun berpandangan bahawa Johor wajar diberikan ruang fiskal yang lebih adil dan setara dengan sumbangan besarnya kepada negara,” jelasnya.

Katanya, UMNO Johor menegaskan komitmennya untuk terus mendokong usaha mengembalikan hasil negeri agar manfaatnya sampai terus kepada rakyat, seterusnya menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih mampan, kompetitif dan sejahtera.

“Setiap sen yang dibelanjakan mesti sampai kepada rakyat. Ini bukan sahaja soal hak, tetapi soal masa depan Johor dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79