“Membina Melaka Lestari dan Sejahtera” Manifestasi Sebenar Denyut Nadi Rakyat – Ab Rauf

MELAKA, 24 Julai – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa segala dasar, pelaksanaan dan pencapaian semasa pentadbiran Kerajaan Negeri merupakan manifestasi sebenar kepada komitmen “Membina Melaka Lestari dan Sejahtera” yang menyentuh denyut nadi rakyat serta memperkukuh nilai perpaduan.

Dalam ucapan penggulungan sempena Persidangan Kedua, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 semalam, beliau berkata keupayaan mentadbir negeri bukanlah semata-mata dinilai melalui jumlah projek, tetapi lebih penting ialah impaknya terhadap kesejahteraan rakyat.

“Segala usaha yang dilaksanakan kerajaan adalah untuk manfaat rakyat. Kita ingin melihat projek yang benar-benar menyentuh keperluan dan memperkukuh keharmonian dalam masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, ekonomi negeri Melaka terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila nilai tambah negeri meningkat kepada RM48.9 bilion dengan kadar pertumbuhan 4.4 peratus pada tahun 2024, didorong sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Ujarnya, dalam usaha menjadikan Melaka sebagai hab pelaburan utama, negeri itu berjaya menarik pelaburan langsung asing dan domestik berjumlah RM8.18 bilion, melebihi sasaran RM5 bilion dan sehingga suku pertama 2025, pelaburan baharu sebanyak RM855.63 juta telah direkodkan.

“Kerajaan Negeri turut mewartakan lebih 2,700 hektar sebagai zon perindustrian moden dan lestari, termasuk pembangunan MCORP Hi Tech Park, German Technology Park, dan Elkay 2.0.

“Melaka juga terus mencipta sejarah apabila menerima lebih 15 juta pelancong pada 2024, dengan hasil pendapatan hampir RM12.68 bilion.”

Menyentuh soal kebajikan rakyat, Ab Rauf turut memaklumkan tentang pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang diperkenalkan sebagai mekanisme penyelesaian masalah secara langsung dan menyeluruh.

“Program WRUR juga diperkenalkan sebagai mekanisme menyelesaikan masalah rakyat secara langsung dan menyeluruh. Sehingga kini, sebanyak enam kawasan DUN telah dilibatkan bermula di DUN Kuala Linggi, Pengkalan Batu, Sungai Udang, Lendu, Bemban, dan Duyong,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa nilai perpaduan adalah teras dalam setiap perancangan pembangunan negeri dan menjadi keutamaan dalam menjayakan agenda Melaka yang Lestari dan Sejahtera. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79