MB Johor Sambut Titah Tunku Mahkota Ismail, Tuntut Pulangan 25% Hasil Cukai Untuk Pembangunan Negeri
JOHOR BAHRU, 24 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyambut baik titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang menyeru agar Kerajaan Persekutuan memulangkan sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan yang disumbangkan oleh Johor untuk digunakan semula dalam pembangunan negeri.
Menurut beliau, Johor telah menunjukkan prestasi cemerlang sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.
Ujarnya, pada suku pertama 2025, Johor mencatat nilai pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia iaitu RM30.1 bilion. Manakala pada tahun 2024, Johor merekodkan kadar pertumbuhan KDNK tertinggi sebanyak 6.4 peratus, melebihi purata nasional 5.1 peratus sementara dalam sektor pertanian pula, Johor kekal unggul dengan nilai jualan tertinggi sebanyak RM27.2 bilion.
“Kejayaan ini adalah hasil kepimpinan di bawah naungan DYAM Pemangku Sultan Johor serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Namun, Johor kini memerlukan suntikan kewangan yang lebih besar bagi mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek asas rakyat termasuk infrastruktur, sistem kesihatan, pengurusan banjir dan kebajikan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Onn Hafiz menegaskan bahawa tuntutan agar 25 peratus hasil cukai pendapatan dipulangkan bukanlah sesuatu yang keterlaluan atau menolak semangat kerjasama Persekutuan dan Negeri, sebaliknya, ia adalah satu cadangan yang munasabah dan strategik demi memastikan Johor terus berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang.
“Jika hasil ini dapat diagihkan dengan telus dan cekap, bukan sahaja rakyat Johor mendapat manfaat secara langsung, malah ekonomi negara juga bakal menerima limpahan positif yang lebih besar. Kemudahan awam yang lebih baik akan menjadikan Johor lebih kompetitif dan mampu menyumbang lebih banyak kepada Malaysia,” jelasnya lagi.
Beliau turut menegaskan komitmen Johor terhadap semangat kebersamaan bersama Kerajaan Persekutuan, namun menekankan pentingnya Johor dilihat bukan hanya sebagai penyumbang ekonomi tetapi sebagai rakan kongsi strategik dalam agenda pembangunan negara.
“Kerajaan Negeri berharap cadangan ini diperhalusi dan dipertimbangkan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan demi kepentingan bersama. Insya-Allah, Johor akan terus maju dan menyumbang kepada kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – UMNO Online