Kerjasama Politik Boleh Dibentuk Atas Dasar Tanggungjawab, Keselesaan

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Pengarah Pusat Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), ⁠Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian menyifatkan landskap politik negara menyaksikan sukar untuk parti tunggal memperoleh majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan.

Menurut beliau kerjasama antara parti menjadi satu keperluan dan bukan sekadar pilihan.

“Politik negara kita politik angka, tanpa gabungan tidak boleh melihat satu parti boleh menubuhkan kerajaan tanpa mewujudkan kerjasama.

“Definisi politik itu perlu jelas sama ada kerjasama mengikut keselesaaan atau kerjasama atas dasar tanggungjawab.

“Kita harus boleh membezakan ini supaya ia menggarap, mencerna dan meniliti supaya mengapa kerjasama politk itu wujud dalam konteks negara kita,” katanya.

Dr Sivamurugan berkata demikian pada BN Forum ke-5: Masa Depan Politik Kerjasama Malaysia yang diadakan di Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Turut hadir Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Dr Bridget Welsh dari Asia Research Institute Universiti Nottingham Malaysia; serta Prof Madya Dr Tricia Yeoh, Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Nottingham Malaysia.

Beliau dalam pada itu berkata walaupun kerjasama antara parti mungkin dilihat bersifat sementara ketika ini namun ia berpotensi menjadi struktur tetap sekiranya berjaya menjamin kestabilan dan melaksanakan dasar-dasar yang berpihak kepada rakyat.

Katanya lagi keberkesanan pelaksanaan dasar menjadi kayu ukur utama, bukan hanya sekadar membentuk kerajaan tetapi menjalankan amanah.

“Ini membawa kepada beberapa persoalan, apakah kerjasama mampu menjadi norma baharu atau solusi sementara?

“Ia mungkin bersifat sementara sekarang tetapi ia boleh menjadi sesuatu tetap jika bersifat stabil dan membolehkan segala dasar itu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.

“Rakyat mungkin mahu menerima kerjasama dengan formula yang sah, ada keabsahan tetapi perlu ada kejujuran dan keikhlasan dalam kerangka tersebut supaya sampai ke akar umbi,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79