Kajian Separuh Penggal Penting, Pastikan Kehendak Rakyat Terus Dilaksana – Azalina

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan kajian separuh penggal kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) penting bagi memastikan agenda rakyat terus diperkasa dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata ia juga penting bagi memastikan suara rakyat melalui Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/BN dapat dilaksanakan bagi penambahbaikan dasar kerajaan.

“Kajian separuh penggal ini sangat penting kepada UMNO/BN kerana melalui ini kita akan berbincang dengan Ahli Parlimen dan ADUN untuk menilai langkah kerajaan dan perbandingan dengan parti.

“Dalam manifesto ada yang telah dilaksanakan dan ada yang belum kerana kita tidak mengetuai kerajaan ini.

“Namun kita kena runding untuk memastikan kehendak parti dan apa yang kita janjikan kepada rakyat, kerajaan Madani melalui Pakatan Harapan (PH) mesti mendengar suara yang kita bawa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada BN Forum ke-5: Masa Depan Politik Kerjasama Malaysia yang diadakan di Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Turut hadir Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Dr Bridget Welsh dari Asia Research Institute Universiti Nottingham Malaysia; Pengarah Pusat Sains Kemasyarakatan USM, ⁠Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian serta Prof Madya Dr Tricia Yeoh, Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Nottingham Malaysia.
Azalina dalam pada itu berkata rakyat pada masa kini semakin bijak dalam mentaksir langkah dilakukan kerajaan.

Malah beliau percaya bahawa pada PRU akan datang rakyat tidak mementingkan aspek personaliti calon atau parti.

“Bercakap tentang pengundi, tuntutan rakyat berbeza dengan geopolitik.

“Berkenaan bantuan-bantuan yang diberikan RON95 dan sebagainya. Selepas bentuk kerajaan, rakyat hendak tahu apa yang mereka dapat daripada kerajaan.

“Mereka tidak kisah sangat tentang gabungan, saya tidak yakin pada PRU16 (rakyat) memilih personaliti atau parti sebab rakyat semakin bijak sekarang terutama apabila sekarang ini ada pengundi 18 tahun,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79