Ahmad Zahid Miliki Rekod Cemerlang Dalam Kerajaan Dan Korporat – Nasrun
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Cadangan yang dibawa oleh 13 Bahagian Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan agar Jabatan Wilayah Persekutuan yang kini terletak di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri, diletakkan secara langsung di bawah tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Muhammad Nasrun Nasaruddin berkata sokongan dan cadangan tersebut berasaskan Ahmad Zahid yang berpengalaman luas serta kelayakannya dalam kerajaan dan sektor korporat.
“Kelayakan dan pengalaman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah berkhidmat lebih daripada empat penggal dalam kerajaan dan pernah mengetuai pelbagai kementerian penting.
“Pengalaman beliau turut meliputi dunia korporat apabila pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional dan Permodalan Nasional Berhad. Ini menunjukkan kebolehan beliau dalam mengurus bukan sahaja hal ehwal rakyat, malah strategi pembangunan ekonomi.
“Penempatan Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Timbalan Perdana Menteri juga berpotensi mengurangkan kos pentadbiran. Ia tidak memerlukan pertambahan lantikan politik atau penstrukturan semula secara besar-besaran. Sebaliknya, penumpuan boleh diberikan kepada keberkesanan dasar dan penambahbaikan sistem penyampaian kepada rakyat,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.
Mengulas lanjut, Nasrun yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju menjelaskan, penstrukturan ini bukan sahaja mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus Wilayah Persekutuan, tetapi juga memperkukuh keberkesanan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada warga kota.
Tambah Nasrun lagi, Wilayah Persekutuan bukan sahaja menjadi pusat pentadbiran negara, malah memainkan peranan penting sebagai nadi ekonomi dan simbol kemajuan negara.
“Kedudukan strategik Wilayah Persekutuan sebagai ibu negara Malaysia yang menjadi jantung pentadbiran, ekonomi dan simbol kemajuan negara. Ia menuntut pengurusan yang berwibawa dan berkualiti tinggi agar pembangunan dan kesejahteraan rakyat terjamin.
“Keperluan kepimpinan berpengalaman mentadbir urus Wilayah Persekutuan tidak lagi tersusun seperti sebelumnya. Polisi dan dasar yang dilaksanakan tidak lagi mencerminkan aspirasi sebenar warga kota.
“Maka, diperlukan seorang pemimpin berpengalaman luas dan memahami denyut nadi rakyat untuk mengembalikan kegemilangan pentadbiran Wilayah Persekutuan,” ujarnya. – UMNO Online