Wanita UMNO Segamat Komited Turun Padang, Teruskan Jelajah Siri Misi Menyantuni Rakyat
SEGAMAT, 23 Julai – Wanita UMNO Bahagian Segamat terus memperkukuh peranan mereka di akar umbi menerusi Jelajah Siri Kedua: Misi Menyantuni dan Bertanya Khabar yang diadakan di Zon Gemereh, baru-baru ini.
Program ziarah yang diketuai Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim itu menyaksikan seramai 13 keluarga disantuni dalam usaha memperkukuh hubungan silaturrahim serta mengambil tahu keadaan dan keperluan masyarakat setempat.
Menurut Norshida, jelajah ini memberi peluang kepada pihaknya untuk mendekati masyarakat secara langsung, terutamanya mereka yang memerlukan perhatian seperti keluarga yang sedang sakit dan ibu yang baru melahirkan anak.
“Program ini bukan sekadar ziarah biasa, tetapi lebih kepada menyampaikan sokongan moral dan memperlihatkan keprihatinan Wanita UMNO terhadap masyarakat. Kami ingin semua rakyat tahu bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada sahabat-sahabat Wanita UMNO yang turut serta dalam rombongan tersebut, serta Ketua Cawangan yang menunjukkan komitmen tinggi bersama-sama dalam misi kebajikan ini.
“Kehadiran mereka sangat bermakna dan menyemarakkan lagi semangat kami untuk terus berkhidmat. Kami berharap ziarah ini dapat memberi sedikit sinar dan meringankan beban keluarga yang dilawati,” ujar beliau.
Katanya lagi, program sebegini akan diteruskan secara berperingkat di zon-zon lain bagi memastikan tiada masyarakat yang terpinggir daripada perhatian dan bantuan sewajarnya. – UMNO Online