Terokai AI Mendepani Landskap Politik Yang Semakin Mencabar – Sollehin
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menyifatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu diterokai sebaiknya dalam mendepani landskap politik yang semakin mencabar.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang berkata ini kerana medium tersebut perlu dimanfaat sebaiknya dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“AI ini merupakan teknologi yang saya rasa sangat bahaya jika tidak dijaga dengan baik.
“Bayangkan kalau kita hadapi pilihan raya, tiba-tiba ada orang buat AI suara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi suruh sokong Perikatan Nasional (PN), kita akan hadapi masalah besar.
“Jadi UMNO perlu bertindak lebih cepat dan pantas bagaimana kita dapat manfaatkan teknologi yang ada kini untuk hadapi pilihan raya yang akan datang,” katanya ketika ditemui UMNO Online, baru-baru ini.
Mohammad Sollehin dalam pada itu berkata rakyat juga perlu rasional dalam membuat penilaian membabitkan maklumat diperolehi mereka menerusi media sosial.
Menurut beliau ini kerana, pilihan raya sebelum ini perlu dijadikan sandaran kepada mereka untuk memilih parti yang berwibawa dalam melaksana tadbir urus negara.
“Rakyat juga jangan terlalu mudah terpedaya dengan apa yang ada di media sosial. Saya rasa rakyat kena belajar daripada beberapa siri pilihan raya yang lalu, bagaimana janji-janji tak ditepati.
“Bukan soal kita hendak memilih pemimpin yang terbaik tetapi juga mengajar rakyat bagaimana membuat penilaian dalam memilih wakil rakyat.
“Kalau rakyat kita tak diajar untuk memilih dengan betul, akhirnya mereka akan mengangkat pemimpin yang salah.
“Disebab ini kita akan hadapi kemelut politik yang tidak berkesudahan sejak PRU lepas. Sekali lagi kita akan hadap perkara yang sama, bila kita nampak kualiti pembangkang hari ini yang tidak mampu jadi pembangkang yang baik dan berfungsi dalam Parlimen,” ujar beliau. – UMNO Online