Sistem Permohonan Tunggal SBP-MRSM Mudahkan Ibu Bapa Dan Pelajar – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pengerusi MARA yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pelaksanaan sistem permohonan tunggal bagi kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang akan dilaksanakan bermula tahun ini.
Menurut beliau, langkah penyelarasan yang diumumkan selepas Mesyuarat Penyelarasan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MARA itu amat bertepatan dalam memudahkan urusan permohonan ibu bapa dan pelajar.
“Mulai tahun ini, ibu bapa tidak perlu lagi bimbang mengenai keperluan anak-anak mereka menduduki dua ujian penilaian berbeza untuk permohonan ke SBP dan MRSM. Kini hanya satu sistem permohonan dan satu ujian penilaian, iaitu Penilaian Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), digunakan untuk kedua-dua institusi,” jelasnya dalam hantaran di laman Facebooknya.
Antara intipati utama yang diumumkan termasuk:
1. Satu sistem permohonan tunggal melalui platform yang disediakan KPM untuk SBP dan MRSM.
2. Satu sistem penilaian sahaja iaitu PKSK akan digunapakai untuk semua permohonan.
3. Satu tawaran tempat sahaja akan diberikan, berbanding sebelum ini yang memungkinkan pelajar menerima dua tawaran berbeza.
4. Keutamaan berdasarkan pilihan utama pelajar – pelajar yang memilih MRSM sebagai pilihan utama dan layak, akan ditawarkan ke MRSM.
5. Rayuan kemasukan tetap dibuka bagi pelajar yang tidak berjaya pada tawaran awal.
6. Perkongsian lokasi ujian antara KPM dan MARA membolehkan lebih banyak pusat ujian diwujudkan, tidak lagi terhad kepada 57 MRSM.
Dr Asyraf Wajdi berkata, inisiatif itu secara langsung menangani isu lokasi ujian yang selama ini menjadi rungutan ibu bapa, terutamanya di kawasan luar bandar yang terpaksa membawa anak-anak mereka ke pusat penilaian yang jauh.
“Dengan kerjasama ini, sekolah-sekolah di bawah KPM boleh digunakan sebagai pusat ujian. Ini pastinya lebih menjimatkan masa, tenaga dan kos untuk ibu bapa,” ujarnya lagi. – UMNO Online