Permata Gemerlapan SPM Perniagaan 2025: Usaha Holistik Angkat Kecemerlangan Pelajar Kulai

KULAI, 23 Julai – Seramai 190 pelajar daripada 10 buah sekolah menengah daerah Kulai menyertai Program Permata Gemerlapan SPM Mata Pelajaran Perniagaan 2025 yang berlangsung di SMK Bandar Putra semalam.

Program ini dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Yayasan Sejahtera Kulai (YSK), Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Ujarnya, program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai dengan kerjasama SMK Bandar Putra dan Yayasan Sejahtera Kulai ini bertujuan memperkukuh penguasaan pelajar dalam subjek Perniagaan melalui bengkel intensif yang menekankan teknik menjawab soalan, pengenalpastian topik penting serta strategi menghadapi peperiksaan secara tersusun dan berfokus.

Mohd Jafni menyatakan penghargaan terhadap pendekatan holistik yang diambil dalam program ini, khususnya dalam memberi perhatian kepada pelajar kategori GALUS (Gagal Untuk Lulus).

Beliau menekankan bahawa setiap pelajar wajar diberi peluang dan sokongan untuk bangkit dan mencapai kejayaan, bukan sekadar lulus, malah cemerlang dalam peperiksaan.

“Sebagai Pengerusi YSK, saya amat berbangga dapat menyalurkan tajaan sebagai sokongan penuh terhadap pembangunan akademik anak-anak Kulai. Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam memperkukuh pendidikan lokaliti,” ujarnya.

Tambah beliau, program seperti ini bukan sahaja menyuntik motivasi, malah menyemai semangat daya saing dan keyakinan diri dalam kalangan pelajar, selari dengan aspirasi negeri dan negara untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai PPD Kulai, Razali Tamadi, barisan pentadbir sekolah, serta para guru yang sentiasa menjadi tunjang dalam mendidik dan membentuk generasi masa depan negara.

“Insya-Allah, dengan usaha kolektif dan dedikasi semua pihak, daerah Kulai mampu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang yang bakal menyumbang kepada kemajuan Johor dan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Ujarnya, program ini mencerminkan sinergi kukuh antara pihak pendidikan, kepimpinan tempatan dan komuniti dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir, selagi ada usaha dan sokongan berterusan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79