Penyelesaian Sementara, Jadikan Dua Sesi Keselesaan Untuk Pelajar Sekolah – Najib Samuri

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri berharap masalah kesesakan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat dan Sekolah Kebangsaan Seri Binjai, mencapai penyelesaian sementara sebelum pembinaan sekolah baharu dilaksanakan.

Menurut beliau pihaknya bersama mereka yang terlibat bukan sahaja mengambil maklum malah turut sama mengadakan perbincangan bagi melicinkan permasalahan berkenaan.

“Alhamdulillah… semalam saya ke Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Batu Pahat di Pejabat Daerah Batu Pahat. Mesyuarat kali ketujuh pada tahun 2025 ini antara lain adalah penjelasan berkaitan permohonan pengoperasian sekolah 2 sesi oleh wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat.

“Sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat dan Sekolah Kebangsaan Seri Binjai, ini kerana kedua-dua sekolah ini mengalami kesesakan akibat penambahan murid dan tiada tambahan bilik darjah untuk menampung lebihan murid itu,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Kata beliau lagi demi memastikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa, PPD Batu Pahat telah mengesyorkan pembelajaran dua sesi dilaksanakan.

“Tentunya terdapat keperluan mendesak bagi pembinaan baru Sekolah Kebangsaan Bandar Putera Indah untuk segera dilaksana sepertimana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pembentangan bajet 2025 yang lalu. Semoga warga Tongkang Pechah akan beroleh manfaatnya kelak,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79