Jangan Terpengaruh Serang Pemimpin Sendiri… Parti Lawan Mahu UMNO Kacau-bilau
KUBANG PASU, 23 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar menasihati ahli parti agar jangan terpengaruh dan mengikut rentak parti lawan yang mahu UMNO kacau-bilau.
Tegasnya, mereka menghasut dan menyerang UMNO terutama institusi presiden tidak lain dan tidak bukan hanya untuk melemahkan UMNO dari dalam terutama bagi menghadapi pilihan raya.
“Yang saya minta ahli UMNO di bawah ini taat setia kepada pemimpin parti. Taat setia ini bermaksud janganlah kita sendiri selaku ahli UMNO menyerang pemimpin parti yang di atas.
“Hari ini presiden parti berkorban untuk parti. Kalau tanpa pengorbanan yang begitu besar daripada presiden parti, mana mungkin parti ini akan wujud sampai ke hari ini.
“Ada ahli di bawah tidak memikir atau mengkaji tentang perkara tersebut, lalu mereka mudah terpengaruh dengan parti-parti lawan yang sudah tentu memberi kacau-bilau kepada parti, menghasut ahli supaya menyerang presiden. Ini yang berlaku sampai ke hari ini tak pernah putus,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, keengganan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menuruti desakan Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad dan selaku Pengerusi Bersatu ketika itu yang mahu UMNO dibubarkan telah menyebabkan Ahmad Zahid terpaksa membayar harga yang tinggi apabila dihadapkan dengan 87 kes pendakwaan terpilih.
“Walaupun kita bagi penjelasan bahawa kalau tanpa pengorbanan daripada presiden parti, UMNO akan diminta dibubarkan oleh Perdana Menteri pada tahun 2018. Presiden dipanggil, digertak sampailah keputusan ada 87 pertuduhan kepada presiden parti kita sendiri.
“Dan ini yang buat parti kita jadi lemah. Jadi saya mohon kepada semua ahli parti tiada lagi (serang presiden) dan bergasak sesama sendiri.
“Tugas kita untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) lebih kurang dua tahun lebih. Kalau masih lagi perkara ini tidak selesai dalam kepompong kita maka parti akan hancur, parti akan bergerak menuju pilihan raya dalam keadaan yang lemah, yang mana solidariti parti tidak ada,” tegasnya.
Malah katanya, nasihat tersebut bukan sahaja untuk ahli di kawasannya, malah di seluruh negara.
“Kita bukan patuh secara membuta-tuli. Ada perkara yang kita boleh bangkitkan contoh isu rakyat seperti harga barang, kos sara hidup dan sebagainya. Kita mohon kepada kerajaan, kita bersuara atas platform yang tertentu, yang memungkinkan kita meletakkan perkara ini ada batas dan tata susilanya.
“Jadi, kita bercakap dalam konteks platform kita iaitu dalam mesyuarat bahagian, mesyuarat cawangan. Ini platform yang kita hendak suarakan,” katanya.
Justeru itu katanya, penting semua ahli mempunyai disiplin dan bersolidariti agar parti menjadi harmoni dan seterusnya mampu bergerak dengan baik dalam menjalankan kerja-kerja pilihan raya.
“Solidariti ini penting untuk kita menang dalam setiap pilihan raya. Dulu kenapa kita boleh menang? Sebab semua orang taat, contoh dulu kita di Kubang Pasu hormat kepada Ketua UMNO Kubang Pasu selaku Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.
“Masa itu kita tak banyak soal, sokong, bukan sahaja di Kubang Pasu bahkan di seluruh Malaysia. Maka banyak sangat perkara manfaat yang boleh dilakukan oleh beliau kerana tidak ada kacau-bilau dalam parti, masalah dalaman tiada,” katanya. – UMNO ONLINE