Inisiatif Rakyat: Langkah Proaktif Kerajaan Ringankan Beban, Pacu Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Barisan Backbenchers Club (BBC) menyambut baik pengumuman inisiatif rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai langkah proaktif dan tepat waktu dalam meredakan tekanan kos sara hidup dihadapi oleh rakyat.

Pengerusinya, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pihaknya percaya pengumuman ini mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Madani dalam meletakkan rakyat sebagai keutamaan, bukan hanya melalui dasar, tetapi dengan tindakan segera yang menyentuh realiti sebenar kehidupan rakyat di bawah.

“BBC percaya inisiatif-inisiatif yang diumumkan seperti Sara Untuk Semua iaitu pemberian RM100 secara ‘one-off’ menerusi Mykad yang pertama kalinya dilaksanakan di samping pengekalan harga tol serta memperbanyakkan Jualan Rahmah Madani serta penurunan harga Ron 95 kepada RM1.99 berupaya merendahkan kos sara hidup dan menyediakan ruang perbelanjaan yang lebih baik khususnya kepada golongan B40 dan M40.

“Bagi BBC, pengumuman ini terus memperlihatkan kerajaan terhadap realiti semasa yang dihadapi oleh rakyat. Pengumuman kerajaan ini menunjukkan bahawa sebenarnya kerajaan bukan hanya melaksanakan dasar tetapi kerajaan sedar apa yang sedang berlaku di bawah sana.

“Langkah proaktif dan pantas ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat serta sentiasa berusaha mencari ikhtiar-ikhtiar baru dan menambah baik ikhtiar-ikhtiar yang sedia ada sebagai penyelesaian yang tuntas demi kesejahteraan bersama,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mohd Shahar seterusnya menambah usaha berkenaan selaras dengan kerangka ekonomi madani dengan menaikkan paras siling serta lantai dan segala usaha keras kerajaan madani dalam menarik pelaburan ke dalam negara kini diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.

“Pihak BBC percaya bahawa segala inisiatif yang diumumkan ini memberi manfaat nyata kepada seluruh rakyat Malaysia mengurangkan beban kos sara hidup dan pada masa yang sama turut memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah yang lebih mampan.

“BBC menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan dan dokongan yang padu kepada kerajaan madani demi memastikan Malaysia terus maju dan sejahtera,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79