Harga Terendah Bukan Jaminan Kejayaan – Ahli Parlimen Tenggara

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib melihat Kementerian serta agensi pelaksana mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menilai syarikat-syarikat yang bakal dilantik.

Menurut beliau, harga terendah tidak sepatutnya menjadi satu-satunya penentu dalam proses perolehan kerajaan, sebaliknya perlu disandarkan kepada pelbagai faktor yang lebih kritikal.

“Pada pandangan saya, pertimbangan utama bukan hanya harga. Kita mesti melihat kepada kesihatan syarikat, rekod prestasi, kemampuan penghantaran, serta laporan kewangan yang tulen. Kalau semua itu lemah, walau harga rendah macam mana pun, projek tetap berisiko gagal,” katanya ketika membahaskan laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini.

Manndzri seterusnya mengambil contoh salah satu projek yang terbengkalai di Tenggara  melibatkan projek pembinaan infrastruktur bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi  beri kelulusan awal RM500,000 untuk sebuah jambatan projek di Kampung Pasir Intan di Tenggara Johor, Kampung Orang Asli. Kemudian, selepas proses Notice of Change, diluluskan lagi RM850,000.

“Kemudiannya projek yang berkenaan diberikan kepada satu syarikat berdasarkan harga yang rendah. Wang disalurkan kepada Kejora dan Kejora melantik Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah sebagai agensi pelaksana.

“Dan jabatan itulah yang memilih kontraktor berdasarkan harga terendah tapi akhirnya terbengkalai. Ini menunjukkan satu contoh dalam laporan Ketua Audit Negara ini yang mungkin Ketua Audit Negara boleh mengambil pertimbangan dalam pelaksanaan tugas-tugas begini bukan hanya harga saja yang menjadi faktor untuk menentukan gagal jaya sesuatu projek tetapi sebenarnya keseluruhan tahap kesihatan syarikat itu perlu diambil kira,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79