BN Kekal Guna Logo Dacing, Kerjasama Parti Lain Tetap Diteruskan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan bahawa logo Barisan Nasional (BN) akan terus digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mengenai hala tuju dalam PRU16 beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain.
“Kita menggunakan lambang BN tetapi kerjasama dengan parti-parti lain tetap akan berjalan. Ini yang dikehendaki oleh ahli-ahli UMNO/BN
“MCA, MIC juga menggunakan logo BN walaupun kita akan dengar suara-suara cengkirik di sana sini
“Selagi kepimpinan utama parti-parti komponen BN tidak membuat pendirian melalui Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) kita anggap itu adalah pendapat peribadi.
“Kita yakin kebersamaan ini akan memberikan satu penghasilan yang cukup baik,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada ucaptama sempena BN Forum ke-5: Masa Depan Politik Kerjasama Malaysia yang diadakan di Menara Dato’ Onn, sebentar tadi.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Asia Research Institute Universiti Nottingham Malaysia, Dr Bridget Welsh; Pengarah Pusat Sains Kemasyarakatan USM, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian serta Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Nottingham Malaysia, Prof Madya Dr Tricia Yeoh.
Beliau yang juga Pengerusi BN dalam pada itu turut sama menyentuh berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) dihadapi BN sebelum ini yang disifatkan beliau sebagai memberi harapan baharu.
Menurut Ahmad Zahid ini kerana kejayaan BN merampas kerusi disandang pembangkang serta mengekalkan kemenangan dengan angka majoriti yang lebih tinggi di beberapa kawasan ditandingi.
“Insya-Allah dalam PRU akan datang kita akan menunjukkan bahawa kita akan berada di hadapan semula. Ada usaha yang kena dilakukan kerana kita tahu bahawa 18 parti yang membentuk kerajaan sekarang ini sebenarnya dimulakan oleh UMNO/BN
“Saya maklumkan kepada ahli Parlimen apa yang berlaku ketika ini ialah aturan Tuhan. Namun kini UMNO/BN ialah rakan kerjasama dalam kerajaan. Dalam keadaan itu ia dibuktikan dengan PRK yang lain.
“DUN Nenggiri kita tahu ia disandang oleh Pas tetapi UMNO/BN menang. DUN Pelangai, DUN Tioman juga menang. Selepas itu DUN Mahkota daripada majoriti 5,000 dapat 20,000 majoriti kemudian DUN Ayer Kuning daripada 3,000 dapat lebih 5,000 majoriti,” ujar beliau. – UMNO Online