Ahmad Razif Soal Apa Hasil Dua Penggal Pas di Terengganu?
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan Pas Terengganu hanya memanfaat dan meneruskan pembangunan dilakukan UMNO/Barisan Nasional (BN) sewaktu mentadbir negeri itu.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu malah mempersoal pembaharuan dilakukan Pas sejak dua penggal sebagai kerajaan negeri.
“Jambatan Angkat (Drawbridge), apa mereka tak kata masa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Litar motosikal, apa mereka tak kata?
“Baiki stadium, mereka kata sudah selesai projek tertangguh sedangkan baiki itu masa zaman saya. Kemudian dengan asrama atlet, ‘flyover’.
“Tunjukkan kepada kita apa mereka buat selepas memasuki dua penggal ini. Itu ketika saya mentadbir belum lagi zaman Tan Sri Wan Mokhtar, Tan Sri Idris Jusoh, Datuk Seri Dr Ahmad Said kalau kita campur semua berapa banyak yang telah pemimpin UMNO/BN buat,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Ahmad Razif dalam pada itu berkata pilihan raya yang lepas perlu dijadikan pengajaran terutama dalam aspek media sosial.
Menurut beliau, UMNO/BN perlu memaksimakan penggunaan teknologi itu yang dilihat sebagai medium penting dalam penyampaian maklumat membabitkan parti di samping membetulkan persepsi negatif oleh pembangkang.
“Masa itu rakyat terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang banyak dimainkan melalui media sosial.
“Kita jangan ketinggalan, kerana sebelum ini kerana kegagalan tidak menjuarai media sosial malah kini bertambah pula dengan TikTok, kecerdasan buatan (AI).
“… yang penting orang UMNO/BN kena ada ilmu-ilmu ini untuk kita lawan hujah supaya akhirnya rakyat akan tahu dan faham seterusnya bersama UMNO,” ujar beliau. – UMNO Online